Elak jadi ‘keldai dadah’, ibu bapa diseru pantau anak belajar di IPT

0

WAN ZAIN

MIRI: Berikutan pendedahan kes penyeludupan dadah ke luar negara membabitkan warga tempatan, semua ibu bapa diseru memantau anakanak mereka yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Saranan itu dikeluarkan oleh Mimbar Permuakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak, selepas Pengerusinya, Wan Zain Syed Modzar (gambar) menyifatkan kes berkenaan adalah serius dan perlu dibendung segera.

“Kita tidak mahu kes ini berlarutan dan anak-anak kita yang sepatutnya mendapat diploma atau ijazah selepas pengajian meringkuk dalam penjara dan menunggu masa ke tali gantung,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau turut mendedahkan terdapat beberapa IPT di Sarawak mengambil pelajar asing ke IPT mereka tanpa menyiasat terlebih dahulu latar belakang pelajar berkenaan.

“Ada antara IPT ini tidak telus dalam pengambilan pelajar baru melibatkan warga asing dan mereka cuba menarik seberapa banyak pelajar asing ke sini semata-mata untuk mengaut keuntungan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengulas taktik baru yang digunakan warga asing untuk menjadikan rakyat Malaysia terutamanya pelajar ‘keldai dadah’ seterusnya menyeludup dadah ke luar negara.

Wan Zain menjelaskan, warga asing berkenaan kemungkinan sudah mempunyai rangkaian sindiket penyeludupan dadah dan kini hanya mencari ‘mangsa’ yang sesuai untuk dijadikan ‘keldai’ mereka.

“Kita tidak memandang serong ke atas pelajar warga asing namun kita bimbang ada antara pelajar asing ini datang ke Malaysia bukan untuk belajar tetapi atas tujuan lain kemungkinan untuk jenayah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua IPT seharusnya lebih profesional dalam pengambilan pelajar warga asing seterusnya mengawal kemasukan pelajar berkenaan yang kini terlalu ramai.

“Kita juga tahu terdapat juga masyarakat setempat bimbang dengan lambakan pelajar asing ke negara ini kerana bimbang kehadiran mereka akan menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti jenayah,” jelasnya.

Beliau juga menasihati pelajar tidak mudah terpengaruh dengan rakan baru warga asing menerusi laman sosial Facebook atau di IPT yang menawarkan mereka wang yang banyak.

“Jangan terlalu teruja apabila ditawarkan wang yang banyak kerana akibatnya nanti, nyawa mereka akan menjadi taruhan khususnya bagi pelajar yang mempunyai masalah kewangan atau kesempitan hidup,” jelasnya.