Petak utama di Sepang milik Vettel

0

Red Bull, McLaren dominasi kelayakan Grand Prix Malaysia, janjikan perlumbaan sengit hari ini

PEMANDUAN CEMERLANG: Pemandu Formula Satu Red Bull, Sebastian Vettel ketika mengharungi sesi kelayakan bagi Grand Prix Formula Satu Malaysia di Sirkit Antarabangsa Sepang semalam. Gambar kanan pula menunjukkan Vettel meraikan kejayaannya menduduki petak pertama untuk perlumbaan hari ini. — Gambar Reuters

SEPANG, Malaysia: Juara dunia Formula Satu (F1), Sebastian Vettel merangkul petak pertama bagi Grand Prix Malaysia dalam sesi kelayakan yang cukup mendebarkan petang semalam (Sabtu) ketika sistem ‘power-boost’ Red Bull yang tidak menjadi sebelum ini akhirnya berjalan lancar.

Pemandu sensasi Jerman itu sedikit sahaja mengatasi pemandu McLaren, Lewis Hamilton yang cuma dipisahkan satu persepuluh saat di saat-saat akhir sesi kelayakan dengan rakan sepasukan Vettel dalam Red Bull, Mark Webber di tangga ketiga sementara Jenson Button (McLaren) keempat.

Hamilton mencatat masa terbaik dengan pemanduan cemerlang sebelum Vettel, yang memenangi perlumbaan pembuka tirai dari petak pertama di Australia, memintas untuk menduduki tempat teratas dengan catatan masa satu minit 34.870 saat.

Sejurus selesai sesi kelayakan itu, Vettel memuji Sistem Penjanaan Semula Tenaga Kinetik (KERS) atau ‘power-boost’ yang menjadi kebimbangan sebelum ini apabila Red Bull memilih untuk tidak menggunakannya di Melbourne.

“Sebelum ini kami dikritik kerana tidak menggunakannya (KERS) namun kami datang ke sini dan menyelesaikan hampir kesemua masalah kami,” ujar Vettel yang baru berusia 23 tahun.

“Saya rasa jika kami tidak menggunakannnya hari ini, mungkin kami tidak akan berada di sini. Ia adalah satu pencapaian yang hebat, pujian untuk mereka (dalam pasukan). Kami bekerjasama, jadi kami gembira.”

Dominasi Red Bull dan McLaren pada empat petak teratas menjanjikan permulaan yang menarik di Sirkit Antarabangsa Sepang yang dijangka panas petang ini (Ahad) di mana Vettel dijangka berdepan cabaran hebat daripada Webber dan dua pemandu McLaren dari Britain.

Beberapa minggu kebelakangan ini mencadangkan bakal berlakunya ketegangan dan perang mulut di antara dua pasukan terbabit namun persaingan mereka di atas litar sekarang sudah berubah kepada persaingan sihat semata-mata (memburu kejuaraan), diterajui pemanduan cemerlang Vettel dan Hamilton.

Hamilton yang tidak menolak cakap-cakap kemungkinan bakal menjadi rakan sepasukan Vettel di Red Bull, menegaskan beliau tidak kecewa biarpun dibayangi kehebatan Vettel pada minit-minit akhir.

“Saya tidak rasa kami harus berasa kecewa. Mempersiapkan diri untuk perlumbaan terakhir, kami telah melakukan kerja yang yang hebat untuk menyaingi Red Bull,” ujar Hamilton.

“Siapa yang tidak mahu berada di barisan hadapan dan di P1 (petak pertama) namun mereka masih mempunyai sedikit kelebihan. Kami telah merapatkan sedikit jurang di sini. Pusingan tidak begitu sempurna, jadi saya perlu memperbaikinya.”

Vettel mengakui mereka berdepan cabaran selama beberapa hari di sini ketika Red Bull bertungkus-lumus menyelesaikan masalah KERS, sistem yang dianggap penting ketika berlumba di laluan lurus seperti Sepang.

“Sememangnya sepanjang hujung minggu ini hingga sesi kelayakan agak mencabar bagi kami. Saya gembira dengan kereta namun kami tidak pernah menemui rentak,” ujarnya.

“Semalam tidak selancar yang diharapkan dan juga pagi ini. Namun penting untuk kami untuk mempercayainya (kereta).”

Dalam pada itu, pemandu Ferrari, Fernando Alonso menduduki tempat kelima di hadapan Nick Heidfeld dari Renault. Rakan sepasukan Alonso, Felipe Massa di tempat ketujuh sementara rakan sepasukan Heidfeld pula, Vitaly Petrov melayakkan diri di tempat kelapan.

Pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan Kamui Kobayashi (Sauber) masing-masing melayakkan diri di tempat kesembilan dan ke-10 untuk perlumbaan. — AFP