Bank digesa merapatkan jurang pendapatan antara kakitangan

0

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa sektor kewangan terutama bank agar segera mengambil langkah merapatkan jurang pendapatan antara pelbagai kategori pekerja di sektor itu untuk membantu negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Setiausaha Agungnya J Solomon berkata, bank adalah entiti terbaik untuk berbuat demikian kerana sejak 10 tahun lepas telah menikmati pertumbuhan pesat dan peningkatan keuntungan di sebalik krisis kewangan global.

Bercakap kepada Bernama semalam, katanya pertumbuhan baik itu sewajarnya diselaraskan dengan dasar gaji dan ganjaran sesuai untuk faedah semua kategori pekerja dan bukan hanya eksekutif tinggi.

Solomon berkata, NUBE kesal kerana sesetengah bank yang memperoleh keuntungan besar setiap tahun, tidak berbuat sepatutnya untuk merapatkan jurang pendapatan antara pekerja.

Beliau mendakwa di beberapa bank, pendapatan eksekutif lebih 100 kali ganda berbanding staf bawahan.

“Perbezaan besar sebegini patut dirapatkan bagi membolehkan industri ini kekal berdaya maju dan bagi negara mempunyai tenaga kerja yang gembira dan sejahtera dan mencapai objektifnya menjadi negara maju,” katanya.

Solomon menggesa bank menerajui langkah dalam menaikkan gaji pekerja mereka sebanyak sekurang-kurangnya 50 peratus dengan mengambil kira kos hidup tinggi dan keupayaannya untuk membayar.

“Langkah ini kemudiannya patut menjadi contoh untuk diikuti sektor lain di negara ini,” katanya.

NUBE mewakili kira-kira 40,000 pekerja dalam sektor kewangan. — Bernama