BN berkeyakinan tinggi rampas kembali kerusi Parlimen Sibu

0

SIBU: Barisan Nasional (BN) mempunyai keyakinan yang lebih tinggi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh berkata bagaimanapun BN perlu bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lanang.

“Kita yakin boleh melakukannya. Kita mempunyai keyakinan tinggi di Sibu dan perlu bekerja keras untuk Lanang,” katanya di sini semalam.

Wong yang mengiring calon BN Parlimen Sibu Vincent Lau berkempen memberitahu, beliau mempunyai keyakinan di Sibu kerana kerusi tersebut mempunyai ramai pengundi Melayu.

“Bukan hanya ramai pengundi Bumiputera tetapi pengundi Melayu terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka,” katanya sambil menambah, Parlimen Sibu mempunyai lebih 30 peratus pengundi Bumiputera.

Sambil menyuarakan keyakinan boleh menang, beliau memberitahu bahawa jentera BN perlu bekerja lebih keras ketika kempen tinggal beberapa hari lagi iaitu bertemu dengan setiap pengundi.

Di samping memberi fokus kepada pengundi Bumiputera, ADUN Bawang Assan itu juga berkata fokus turut diberi kepada pengundi Cina di pinggir bandar serta luar bandar terutama di Tebing Barat, kawasan Dudong dan sebagainya.

“Bagi pengundi bandar, kita telah mengadakan beberapa siri ceramah dan menerangkan kepada mereka terutama mengenai kerajaan alternatif pembangkang.

“Rakyat harus sedar kerajaan alternatif ini hanya akan membawa huru-hara kepada negara.

“Malah, pembangkang tidak sependapat berhubung siapa yang patut menjadi Perdana Menteri serta mengenai polisi tertentu.

“Oleh itu, bagaimana kita boleh memilih kerajaan alternatif seperti itu kerana dari awal lagi mereka tidak sependapat dalam banyak hal,” jelas Menteri Kewangan Kedua itu.

Katanya rakyat tidak mempunyai pilihan tetapi perlu terus memilih kestabilan politik yang hanya boleh diberikan oleh kerajaan BN.

Tambah beliau, rakyat harus bijak memilih serta memberi peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus memimpin negara.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit, Pemanca Stanley Geramong, Penghulu James Semilan, Penghulu Richard Ampi, Penghulu Jeffery Sut serta ahli Unit Bumiputera SUPP Sibu.

Dalam kempen semalam, rombongan terbabit berkunjung ke rumah-rumah panjang di Sungai Melanggan, Sungai Apong, Tanjung Bekakap, Sungai Tebelian, Bawang Assan serta Bukit Tinggi.