Fokus alam sekitar

0
IKTIRAF: Adenan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar daripada Tun Taib, semalam.

IKTIRAF: Adenan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar daripada Tun Taib, semalam.

Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar UNIMAS iktiraf usaha Adenan jaga alam sekitar Sarawak.

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam menerima anugerah tertinggi daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) iaitu Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar.

Anugerah berkenaan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-19 bermula 14 hingga 17 November ini.

UNIMAS memberi penganugerahan pengiktirafan itu atas sumbangan gigih beliau memelihara dan memulihara alam sekitar Sarawak agar dapat terus dinikmati generasi masa depan.

Adenan dalam ucapannya berkata, beliau berterima kasih atas penganugerahan diberikan sebagai pengiktirafan.

Beliau pada masa sama berharap kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dapat diterus termasuk UNIMAS supaya menekankan aspek penyelidikan alam sekitar.

“Saya berharap UNIMAS menekan mengenai bidang ini dalam usaha memelihara alam sekitar,” katanya.

Ketua menteri berkata demikian dalam ucapan balas beliau selepas menerima anugerah tertinggi UNIMAS di sini, semalam.

Jelasnya, kerajaan berusaha gigih dalam meneliti semula perkara berkaitan pemuliharaan alam sekitar termasuk telah menghentikan lesen pembalakan dan industri perladangan.

Jelasnya, ia dilakukan bukan kerana mengharamkan semua aktiviti pembalakan sebaliknya cara terbaik supaya dilaksana mengikut saluran betul.

Adenan juga Pro-Canselor UNIMAS turut mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai agenda sama dengan kerajaan negeri supaya bekerjasama dalam memulihara alam sekitar.

Jelasnya beliau komited mengenai pemuliharaan alam sekitar negeri ini terdiri daripada pelbagai flora dan fauna sejak 40 tahun lalu.

Kata Adenan, beliau menyedari bahawa alam sekitar amat penting dijaga dan dilindungi bukan sahaja untuk kehidupan liar bahkan warisan atau khazanah untuk generasi akan datang.

“Hutan atau kekayaan alam sekitar kita adalah warisan harus dijaga untuk generasi akan datang kerana kita tidak mahu mereka tinggal dalam alam sekitar sudah terhakis.

“Kini kita melihat kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar semakin meningkat berbanding berapa puluhan tahun lalu kerana pada 1979, kita tiada undang-undang berkaitan dengan alam sekitar berbanding sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah berusia 61 tahun, Toh Kah Hwat, percaya  umur hanya angka tetapi apa yang penting kesungguhan melanjutkan pengajian sepanjang hayat.

Beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi dan bersara dua tahun lepas di sebuah kem pembalakan.

Beliau telah menghabiskan enam tahun untuk menamatkan pengajian kedoktoran di UNIMAS.

“Saya sentiasa menghargai pembelajaran sepanjang hayat, bahawa kita harus meneruskan pengajian.

“Umur pasti bukan faktor untuk berhenti belajar,” kata pemegang PhD ketika ditemui di konvokesyen berkenaan di luar Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Putra di sini.