Golf Amal Wisma St Joseph Miri berjaya mengumpul dana sejumlah RM100,000

0
UNTUK AMAL: (Duduk dari tiga kiri) Richard, Dr Chan, Chin dan Sebastian bersama yang lain pada Golf Amal Wisma St Joseph Miri bermula di Kelab Golf Miri semalam.

UNTUK AMAL: (Duduk dari tiga kiri) Richard, Dr Chan, Chin dan Sebastian bersama yang lain pada Golf Amal Wisma St Joseph Miri bermula di Kelab Golf Miri semalam.

MIRI: Golf Amal Wisma St Joseph Miri diadakan di Kelab Golf Miri (KGM) berjaya mengumpul RM100,000.

Biskop Miri Diocese, Biskop Richard Ng berkata beliau berterima kasih kepada semua pemain golf, penderma dan jawatankuasa yang bekerja keras memastikan pertandingan amal itu berjalan lancar.

“Ini merupakan julung kali jawatankuasa Wisma St Joseph mengumpul dana melalui pertandingan golf dan berterima kasih kepada semua pihak mengambil bahagian menjayakan aktiviti itu,” katanya.

Richard berkata demikian semasa perasmian pukulan pertama golf oleh Presiden Kelab Golf Miri merangkap penaung Golf Amal Wisma St Joseph Miri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam di KGM semalam.

Hadir sama Penaung Golf Amal Wisma St Joseph Miri, Tan Sri Datuk Peter Chin dan penasihat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Sementara itu, lebih 150 pemain golf mengambil bahagian dalam golf amal tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Richard berkata projek pembinaan Wisma St Joseph Miri memerlukan peruntukan sejumlah RM25 juta dan setakat ini mereka berjaya mengumpul RM12 juta berbentuk tunai sudah diterima dan akan diterima.

“Peruntukan digunakan menggantikan Gereja Katederal St Joseph yang sudah lama, kecil dan mempunyai cukup kemudahan.

Gereja baharu nanti lebih besar mempunyai tempat letak kereta luas selain dewan serba guna untuk aktiviti gereja,” katanya sambil memberitahu pembinaan bermula pada tahun depan.

“Selain golf, kita mengadakan majlis makan malam Tahun Baharu Cina di Bintulu, jualan makanan dan memohon setiap keluarga menetapkan jumlah tertentu untuk didermakan kepada gereja bagi pembinaan wisma itu,” jelasnya.