HUS bidas dakwaan pembangkang

0

Pusat Jantung HUS di Kota Samarahan miliki prasarana mencukupi walaupun masih baru: Timbalan Pengarah

SAMARAHAN: Timbalan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Junaidi Diki, semalam menolak dakwaan parti pembangkang yang menyifatkan Pusat Jantung HUS tidak mempunyai kelengkapan prasarana yang mencukupi.

Beliau berkata, walaupun pusat terbabit yang terletak di Kota Samarahan masih baru namun kelengkapan prasarananya begitu memberangsangkan.

“Di tempat baru biasanya memakan masa yang lama untuk dilengkapi kemudahan tetapi di sini sangat cepat sungguhpun ia agak jauh dari pusat bandar,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, beliau menyeru pengusaha perkhidmatan awam supaya mengambil inisiatif untuk membuka laluan baru bagi mengambil pesakit dan pelawat untuk ke pusat terbabit.

Dr Junaidi berkata perkhidmatan pengangkutan seperti bas ‘shuttle’ memang disediakan terlebih dahulu tetapi adalah lebih baik jika kemudahan itu diperbanyak dan diteruskan sekiranya berjaya diimplimentasikan.

Beliau yang juga mewakili Pengarah HUS, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata kesedaran rakyat amat memberangsangkan sejak kempen yang dilakukan oleh HUS dan kementerian berkaitan baru-baru ini.

“Kempen kesedaran yang kita adakan tidak lama dahulu juga berjaya membentuk kesedaran kepada rakyat terutama tentang perkhidmatan ENC dan mereka yang datang ke sini juga kebanyakannya adalah pesakit jantung,” katanya.

Beliau berkata, pesakit sentiasa menyuarakan rasa puas hati dengan perkhidmatan kardeologi yang ditawarkan Pusat Jantung HUS ditambah dengan persekitaran yang luas dan lebih kondusif walaupun masih banyak fasiliti belum dipergunakan.

Pada masa yang sama, beliau turut merasmikan majlis memotong riben bagi pembukaan premis kelima J&J Cafeteria di pusatnya di sini semalam.

Turut hadir sama adalah, Pengurus J&J Cafeteria Roland Sim dan Pengarah Urusan J&J Jeffery Kua.