Pengurus kafeteria sasar pulangan RM500,000 di Pusat Jantung

0

SAMARAHAN: Pengurus J&J Cafeteria, Roland Sim memberitahu pihaknya menyasarkan pulangan tahunan sebanyak RM500,000 dari pembukaan kelima cawangannya di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan semalam.

Sim ketika ditemui semalam berkata, sebagai permulaan premis barunya itu akan lebih tertumpu kepada kualiti perkhidmatan dan makanan.

“Premis ini adalah satu kejayaan untuk kami dan menyediakan perkhidmatan dan makanan berkualiti adalah keutamaan kami di sini,” katanya selepas menyaksikan perasmian dilakukan oleh Timbalan Pengarah HUS, Dr Junaidi Diki.

Beliau menambah pihaknya mahu menjadi premis terulung di Kuching yang boleh menyediakan makanan dan minuman yang berkualiti di samping meyakinkan HUS agar dapat dibuka sebuah lagi premis di HUS di dalam bandar raya.

Sim berkata, pulangan tahunan bagi empat buah premisnya di Stutong, Tabuan Laru, Matang dan Kota Samarahan meraih RM1 hingga ke RM1.5 juta sebuah.

“Menu di sini terdapat perbezaan kerana kami akan menyediakan bubur berbanding makanan barat yang mana lebih sihat selain memasak makanan pilihan ahli keluarga pesakit yang datang,” katanya.

Mengenai impak rasionalisasi subsidi yang dijalankan oleh kerajaan Sim mengakui ia telah meningkatkan kos operasi.

Namun harga yang ditawarkan di J&J adalah berpatutan serta kualiti perkhidmatan akan sentiasa dipertingkatkan untuk kepuasan pelanggan.

Pada masa yang sama, Dr Junaidi berkata, pihaknya mengalu-alukan perkhidmatan sokongan seperti J&J bagi menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada kakitangan, pelawat dan pesakit di Pusat Jantung di sini.

“Diharap dengan cita rasa pelbagai masakan yang disediakan oleh pihak J&J bersama kualiti perkhidmatan sentiasa dikekalkan agar tidak berlaku kes keracunan makanan dan sebagainya nanti,” ujarnya.

Menambah kepada itu, beliau turut menyifatkan dakwaan Parti Tindakan Demokrasi (DAP) tidak berasas dan kemudahan yang tersedia di Pusat Jantung adalah baik dan mencukupi.

“Tetapi kita amat mengalu-alukan penyedia pengangkutan awam di negeri ini untuk menyediakan perkhidmatan melalui kawasan ini.

Pada masa yang sama, majlis diraikan dengan tarian 1Malaysia, Pahlawan Gawai Iban dan persembahan muzik sape.

Dalam pada itu, J&J turut menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Kanser Kanak-Kanak (SCCS), Persatuan Autisme Kuching (KAA) dan Pertubuhan Buah Pinggang STEC, yang masing-masingnya menerima cek bernilai RM3,000.

Turut hadir sama adalah Pengarah Urusan Kumpulan J&J, Jeffery Kua.