‘Perhimpunan’ menentang pelacuran

1

SMS berantai disebar kepada isteri-isteri di Miri untuk kumpul tandatangan bantah gejala ‘China Dolls’

MIRI: Wanita khasnya golongan isteri di sini diajak melakukan protes bagi membantah penularan gejala pelacuran oleh tukang-tukang urut ‘China Dolls’ di pusat refleksologi.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita telah bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai kepada orang awam khasnya wanita untuk me-nyokong perjuangan mereka menentang kegiatan maksiat itu.

Mereka merancang untuk mengumpul tandatangan dari golongan wanita terutama   isteri-isteri di sekitar bandar raya ini pada satu majlis di sebuah hotel di sini sebagai menyuarakan keluhan dan kebimbangan mereka.

Ia merupakan kempen bantahan kepada pihak berkuasa khasnya Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk tidak membenarkan tukang-tukang urut wanita dari negara China masuk bekerja ke sini dan menghentikan operasi pusat refleksologi.

Khidmat seks yang ditawarkan oleh pekerja wanita dari negara China di pusat refleksologi berjaya menggoda golongan lelaki khasnya suami mereka.

SMS memberitahu, gejala berkenaan memberi kesan negatif kepada golongan suami, anak, saudara dan rakan yang berpasangan, kewangan dan masalah kesihatan.

SMS berkenaan memberitahu akan menganjurkan maj-lis berkenaan pada hari Ahad ini tanpa menyebut tarikh pada jam 7.30 malam.

Mereka mengajak wanita untuk datang beramai-ramai pada majlis berkenaan dan memberikan tandatangan mereka sebagai tanda protes aktiviti pelacuran di rumah urut di sini.

Antara seruan dalam SMS berbahasa Inggeris itu ialah “The NGO need ladies support to drive this dangerous humans away from our country. This could be done thru collecting signatures. If you are available, pls come and give your support to our beloved Miri community.”

Ia bermaksud, ‘Sebuah badan NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) memerlukan sokongan wanita untuk menghalau manusia-manusia (pelacur China Dolls) jauh dari negara kita. Ini boleh dilakukan dengan mengumpul tandatangan.

Sekiranya anda lapang, sila hadir dan beri sokongan untuk masyarakat Miri yang kita sayangi.’

Datuk Bandar Lawrence Lai yang turut menerima SMS  itu bagaimanapun menasihat-kan penganjur untuk terus menemui MBM bagi membincangkan isu berkenaan.

“Tak perlulah hantar memorandum. Pintu kita (MBM) sentiasa terbuka untuk per-bincangan. Inilah cara yang terbaik,” jelasnya semalam.

MBM katanya sentiasa menerima pandangan-pandangan orang awam yang dapat membantu menjadikan Miri tempat kediaman yang sihat dan selamat.