Pemburu kepala cari mangsa di Limbang?

19

JANGAN PERCAYA: Pengait atau pemburu kepala kini menghantui penduduk Limbang.

LIMBANG: Pemburu kepala kembali menagih korban! Itu cerita lisan yang cukup menggerunkan dan kini menghantui orang ramai khusus-nya kanak-kanak sekolah, kononnya pemburu kepala sedang giat ‘memburu’ mangsanya ketika musim cuti sekolah ini.

Walaupun setakat ini tidak ada bukti yang menyokong kewujudannya, cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu semakin rancak dibualkan bukan sahaja di kedai-kedai kopi malah menjadi perbincangan hangat bagi penduduk Limbang.

Pemburu kepala manusia atau dikenali ‘pengait’, kononnya menyasarkan mangsa yang terdiri daripada golongan kanak-kanak untuk disimpan pada lubang tiang sesebuah jambatan bagi menguatkan struktur pembinaannya.

Difahamkan, proses tersebut dilakukan oleh pawang tertentu supaya jambatan berkenaan lebih kukuh dan tahan lama.

Kepala berkenaan kononnya untuk santapan bagi membayar ‘ganti rugi’ kepada penunggu yang mendiami kawasan pembangunan ter-utama sekali jambatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Da-erah Pemangku Superintenden Bukhori Saffai menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin tersebut.

Beliau yang turut menerima panggilan telefon daripada orang ramai berhubung cerita itu menafi-kan sekeras-kerasnya kewujudan pengait yang menyasarkan kanak-kanak untuk dijadikan mangsa.

“Pembinaan sesuatu jambatan bukan dibuat menggunakan ke-mahiran pawang tetapi melalui jurutera yang terlatih dan pakar.

“Jangan dengar benda-benda karut ini yang kononnya pengait sedang mencari mangsa untuk digunakan bagi menguatkan dan me-ngukuhkan strukt­ur sesebuah jambatan,” katanya semalam.

Bukhori berkata demikian kepada Utusan Borneo ketika diminta mengulas berhubung isu pengait yang hangat diperkatakan penduduk Limbang sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai.

Katanya, ada pihak sengaja memperbesar-besarkan cerita ini ketika musim cuti sekolah supaya kanak-kanak tidak merayau di luar rumah.

“Mungkin ada hikmahnya di sebalik cerita ini supaya budak-budak tidak keluar rumah ketika musim cuti sekolah.

“Namun apa yang penting ialah ibu bapa harus lebih waspada supaya anak-anak mereka tidak terlibat dengan kegiatan jenayah dan dipergunakan pihak-pihak tertentu,” tegasnya.

Bukhori menambah, tiada laporan diterima mengenai isu terbabit setakat ini namun beliau menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati terhadap keselamatan anak-anak mereka.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo mendapati cerita pengait mula heboh diperkatakan sejak pembinaan Jambatan Pandaruan dan ia semakin hebat diperkatakan baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Sebelum ini, isu pengait pernah menghantui penduduk Limbang sekitar awal tahun 90-an ketika pembinaan Jambatan Batu Danau giat dijalankan.