Tahanan lari dari lokap

0

Tiga berjaya ditahan semula, dua masih diburu polis

KOTA KINABALU: Polis kini memburu dua daripada lima tahanan yang berjaya meloloskan diri dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam satu kejadian di sini kelmarin.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, mengesahkan kejadian terbabit di mana lima tahanan lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang diletakkan di dalam lokap telah melepaskan diri pada kejadian kira-kira jam 2 pagi itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, kita difahamkan lima tahanan melarikan diri. Bagaimanapun, tiga daripada tahanan itu berjaya ditangkap polis di sekitar kawasan Kota Kinabalu secara berasingan dan kini kita giat memburu dua lagi tahanan yang masih bebas,” katanya, sambil mendedahkan tiga tahanan berkenaan mempunyai kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sofi berkata dua tahanan yang masih terlepas itu dikenali sebagai Hanafie @ Pay Patrick, 22, berasal dari Kampung Baru, Luyang dan Indy @ Sulaiman Ibnul, 28, dari Kampung Warisan, Inanam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD KK Karamunsing kelmarin yang turut dihadiri Timbalannya, Superintendan M. Chandra.

Menurutnya, kesemua tahanan terbabit difahamkan terlibat dengan kes samun dan curi kenderaan yang mana ditahan reman selama 14 hari serta dijangka didakwa di mahkamah pada minggu ini.

Sambil menyifatkan kes terbabit masih dalam siasatan, beliau berkata pihaknya turut akan meneliti perkara itu sama ada berkaitan dengan kecuaian ataupun berunsur jenayah.

Sehubungan itu, beliau berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan dan Seksyen 225 A Kanun Keseksaan iaitu membantu tahanan lari.

“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada polis di semua daerah bagi mengesan serta menjejaki kedua-dua tahanan yang masih terlepas.

“Polis turut meminta kepada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk memaklumkan ke balai terdekat ataupun menghubungi pegawai penyiasat kita, Inspektor Nazaimi 019-6222811 atau ASP Awang Anak Suanda di talian 013 738139,” katanya.

Dalam pada itu, Sofi turut menjelaskan bahawa kes berkenaan adalah pertama kali berlaku dan menambah polis akan dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.