Sertai Larian Merdeka, kata Sim

0

SIBU: Orang ramai dipelawa menyertai Larian Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri pada 31 Ogos ini.

Residen Sibu Sim Kok Kee berkata, larian dimulakan dari Muzium Memorial Hospital Lau King Howe dan berakhir di Koridor Chuan.

“Larian Merdeka akan melibatkan larian sejauh lima kilometer bagi enam kategori yang dipertandingkan.

“Kategori lelaki dan wanita 18 tahun ke bawah, lelaki dan wanita terbuka (19 hingga 44 tahun) dan lelaki dan wanita veteran 45 tahun ke  atas,” jelasnya kepada pemberita, semalam.

Katanya lagi, semua peserta yang menghabiskan larian sehingga ke garisan penamat di Koridor Chuan akan mendapat tiket untuk cabutan bertuah.

“Acara pelepasan peserta akan dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh pada jam 6 pagi,” ujar beliau.

Johan kategori lelaki dan wanita 18 tahun ke bawah bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200 serta medal, naib johan pula mendapat wang tunai RM170 serta medal.

Pemenang tempat ketiga akan mendapat wang tunai RM150 serta medal, pemenang tempat keempat hingga ke-10 pula membawa pulang wang tunai RM100 serta medal.

Bagi pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 akan mendapat hadiah wang tunai RM50 serta medal.

“Johan kategori lelaki dan wanita terbuka (19 hingga 44 tahun) dan kategori lelaki dan wanita veteran 45 tahun ke atas akan mendapat hadiah wang tunai RM300 serta medal,” jelasnya.

Naib johan akan mendapat wang tunai RM250 serta medal, pemenang tempat ketiga mendapat wang tunai RM200 serta medal.

Bagi pemenang tempat keempat hingga ke-10 pula akan mendapat hadiah wang tunai RM150 serta medal dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 akan mendapat wang tunai RM100 serta medal.

“Borang penyertaan boleh didapati di Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian Sibu di Stadium Tun Zaidi atau hubungi talian 084-330726,” katanya lagi.

Tarih akhir menghantar borang penyertaan ialah selewat-lewatnya pada 28 Ogos dan pendaftaran peserta akan dilakukan pada pagi 30 Ogos bersebelahan Muzium Memorial Hospital Lau Kong Howe.

“Peserta akan diberikan baju-T dan nombor larian masing-masing pada hari pendaftaran,” ujar Sim.