‘Nyapat’ bertentangan adat Iban

3

Perbuatan ‘mali’ dikhuatiri boleh bawa bencana kepada rumah panjang

SIBU: Perbuatan ‘nyapat’ ruai di rumah panjang adalah ‘mali’ atau bertentangan dengan adat budaya kaum Iban, selain satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Adat Iban 1993.

Pemanca Stanley Geramong berkata, ‘nyapat’ atau membina dinding bagi memisahkan bilik-bilik tertentu dengan bilik-bilik yang lain dikhuatiri boleh menyebabkan rumah panjang terbabit ‘angat’ atau dilanda bencana.

“Sejak zaman dahulu, perbuatan ‘nyapat’ ruai di rumah panjang adalah tidak dibenarkan. Ini kerana perbuatan ini boleh menyebabkan sesebuah rumah panjang itu ‘angat’ atau dilanda bencana seperti penghuninya sering sakit atau meninggal dunia.

“Namun pada hari ini, ramai yang tidak faham perbuatan seperti itu bertentangan dengan adat atau telah melanggar pantang larang di rumah panjang,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Stanley berkata demikian ketika diminta memberi pendapat berhubung kejadian ‘nyapat’ ruai yang berlaku di Rumah Johnathan Juna, Sungai Aup pada 17 November lalu selepas segelintir penghuni rumah panjang terbabit menolak kepimpinan Tuai Rumah (TR) Johnathan.

Bagi menyuarakan bantahan mereka, penduduk rumah panjang terbabit difahamkan telah membina dinding bagi memisahkan tiga pintu bilik dengan bilik-bilik lain, di mana salah satu pintu bilik itu milik TR Johnathan sementara dua pintu lagi milik saudaranya.

Menurut Stanley, beliau bersama Temenggung Sir Andrian Ringgau dan Penghulu Jeffery Sut Anggan telah mengadakan perbincangan dengan penduduk rumah panjang terbabit pada 18 November lepas bagi mencari kata sepakat.

Dalam perbincangan itu yang berlangsung dalam suasana yang agak tegang, katanya, penduduk telah diminta merobohkan dinding atau ‘sapat’ yang dibina bagi memisahkan tiga pintu bilik terbabit dengan yang lain.

“Jika mereka gagal merobohkan dinding atau ‘sapat’ itu, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukkan di bawah Seksyen 198, Adat Iban 1993 iaitu bagi kesalahan melanggar adat.

“Sekiranya ‘sapat’ itu tidak diroboh dan berlaku bencana atau kematian melibatkan penghuni rumah panjang, mereka yang membina ‘sapat’ itu akan dipinta membayar pampasan atau Adat Tungkal Mansau,” jelasnya.

Mengikut Adat Tungkal Mansau atau Keresan Mansau ini, pesalah dikenakan membayar denda sebanyak RM32, seekor khinzir serta sebilah parang.

Stanley berkata, membina ‘sapat’ atau dinding kerana enggan bertuaikan seseorang tuai rumah bukan cara bagi menyelesaikan masalah seperti apa yang telah berlaku.

“Isu membabitkan Tuai Rumah ini boleh dibawa berbincang dan bukannya dengan bertindak secara agresif. Kita mempunyi undang-undang atau adat. Perbuatan ‘nyapat’ ruai itu dilihat sebagai satu perbuatan yang yang tidak menghormati adat,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, penghuni rumah panjang harus sedar bahawa sesebuah rumah panjang tidak boleh mempunyai dua orang TR, berdasarkan Adat Iban.

“Jika penghuni tidak lagi menyokong seseorang tuai rumah itu, mereka boleh berpindah atau membina rumah panjang baharu serta memilih ketua baharu sebagai tuai rumah mereka,” tambah Stanley.

Kejadian ‘nyapat’ yang berlaku di Rumah Johnathan 17 November lepas merupakan kejadian kedua berlaku di bahagian ini.

Kejadian pertama berlaku pada Febuari tahun ini, melibatkan sebuah rumah panjang di Pasai Siong.