Penganggur disyaki cuba ceroboh rumah dicekup

0

KUCHING: Tindakan berani seorang penganggur memasuki pekarangan rumah seorang pesara di Height North di Jalan Song, tengah hari kelmarin membawa padah apabila dia akhirnya ditangkap polis.

Insiden sekitar 12.10 tengah hari itu disaksikan jiran mangsa yang ternampak suspek melompat masuk menerusi pagar kediaman tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian, pemilik, 66 tahun, tidak berada di di rumah.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan insiden itu memberitahu, suspek dalam lingkungan 28 tahun dari Tabuan Melayu itu berjaya ditangkap dengan kerjasama pihak polis dan orang awam.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan rogol,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Katanya, ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah.

Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.