Remaja mengaku miliki pisau tanpa kebenaran

0

MIRI: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran sah.

Mohd Rozainie, 18, dari Bekenu telah didakwa mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki sebilah pisau berukuran 29 sentimeter tanpa kebenaran sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.05 petang, 18 November lalu di sebuah rumah kebun di Kampung Beraya Lama.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan mengikut Peraturan 25 91) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan dihukum di bawah Peraturan 25 (1) peraturan yang sama kerana gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta pegawai polis bagi tujuan pemeriksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat sama. Mahkamah kemudian menetapkan 18 Disember depan untuk mendengar laporan sosial tertuduh.

Manakala tertuduh dibenar dibebas dengan jaminan RM1,000 serta ibu bapanya sebagai penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.