Kerajaan anjur majlis makan malam sempena Hari Koperasi Negara

0

KUCHING: Kerajaan negeri telah menganjurkan majlis makan malam sempena Hari Koperasi Negara 2015 Peringkat Kebangsaan di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam Jumaat lepas.

Majlis bagi meraikan delegasi sempena acara itu telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam ucapan alu-aluannya, pengerusi jawatankuasa induk sambutan Hari Koperasi, Datuk Naroden Majais berkata beberapa program telah diatur sempena dengan sambutan ini.

Pada majlis itu, Naroden turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan Sarawak kepada para delegasi terutama yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

“Sedikit maklumat mengenai Sarawak, terdapat dua juta lebih penduduk dengan 600,000 daripadanya menduduki kawasan bandar Kuching ini.

“Banyak tempat boleh dilawati sepanjang anda berada di sini sebagai contoh kampung tradisi, kilang kek lapis, Komplek DUN Baharu serta tempat menjual ikan terubok masin dan gambir,” ujarnya ringkas.

Sebagai tanda kenangan, Naroden turut menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.

Selesai majlis makan malam, Naroden serta delegasi yang lain menghadiri ceramah koperasi di Tebingan Sungai, Kuching yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Hari Koperasi.