TYT kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 159 penerima

0
TAHNIAH: Taib menyematkan pingat kepada Janel @Ganil Janis, penerima Pingat Ahli Bintang Sarawak (A.B.S).

TAHNIAH: Taib menyematkan pingat kepada Janel @Ganil Janis, penerima Pingat Ahli Bintang Sarawak (A.B.S).

KUCHING:Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak kepada 159 penerima semalam.

Mengetuai senarai penerima di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak adalah Penghulu Kawasan Niah Haw Min@Chiew Min Wai dan Bendahari SPDP Ting Hua Sing yang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak (J.B.S).

Johan Bintang Kenyalang (J.B.K) pula dianugerahkan kepada Datuk Dr Chai Khin Chung dan Muhamad Haneef Ali.

Bagi Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) dianugerahkan kepada tiga penerima iaitu Khalid Khan Abdullah Khan, Sapuan Ahmad dan Nor Hisham Mohamad.

Dalam pada itu, Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) dianugerahkan kepada tujuh penerima yang diketuai oleh Lee Heng Cheong manakala Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) menyaksikan seramai 13 penerima yang diketuai oleh Mohammad Gurmeet Abdullah.

Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) pula dianugerahkan kepada 10 penerima dan Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) menyaksikan seramai 46 penerima.

Seterusnya, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.S) dianugerahkan kepada 11 orang penerima dan Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) kepada 23 orang penerima manakala Pingat Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) menyaksikan 42 penerima.

Turut hadir menyaksikan penganugerahan semalam adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berserta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Konsulat Jeneral Republik Indonesia Jahar Gultom.