Red Bull boleh dikejar di Kanada

0

Brawn yakin Mercedes kompetitif pada perlumbaan hujung minggu ini

PANTAS: Dua pemandu Red Bull, Mark Webber (depan) dan Sebastian Vettel beraksi pada Grand Prix Formula Satu Turki di Litar Istanbul Park dalam gambar faik bertarikh 30 Mei ini. Pengurus pasukan Mercedes, Ross Brawn percaya penguasaan Red Bull mungkin berakhir pada perlumbaan Grand Prix Kanada hujung minggu ini. — Gambar AFP

PANTAS: Dua pemandu Red Bull, Mark Webber (depan) dan Sebastian Vettel beraksi pada Grand Prix Formula Satu Turki di Litar Istanbul Park dalam gambar faik bertarikh 30 Mei ini. Pengurus pasukan Mercedes, Ross Brawn percaya penguasaan Red Bull mungkin berakhir pada perlumbaan Grand Prix Kanada hujung minggu ini. — Gambar AFP

MONTREAL, Kanada: Pengurus pasukan Mercedes, Ross Brawn percaya penguasaan Red Bull mungkin berakhir ketika pasukannya memperkenalkan bahagian baru menjelang perlumbaan Grand Prix Kanada hujung minggu ini.

Red Bull jelas jauh di hadapan dari segi kepantasan berbanding pesaingnya dalam kesemua tujuh perlumbaan Grand Prix tahun ini tetapi walaupun menduduki petak pertama dalam kesemua tujuh perlumbaan, mereka hanya berupaya mencipta tiga kemenangan — dengan McLaren kini mendahului kategori pengeluar selepas kemenangan satu dua di Turki dua minggu lepas.

Brawn percaya ia tidak lama sebelum lebih banyak pasukan menyamai kepantasan Red Bull dan membayangkan Mercedes juga akan memperkenalkan sistem ekzos baru.

“Red Bull masih boleh dikejar,” kata Brawn.

“Dalam reka bentuk mereka, terdapat aspek yang berbeza daripada pasukan lain, jadi saya fikir pasukan lain akan memperkenalkan aspek itu dalam beberapa perlumbaan akan datang.

“Sebagai contoh, saya tahu semua orang berminat untuk melihat sistem ekzos Red Bull.”

Walaupun tuduhan pilih kasih, pemandu Sebastian Vettel menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan, Mark Webber dilayan dengan adil dan seimbang di Red Bull tetapi bersemangat untuk melupakan apa yang berlaku di Turki di mana kedua-dua pemandu berlanggar dan menghadiahkan kemenangan satu dua kepada McLaren, yang dipandu Lewis Hamilton dan Jenson Button.

“Anda boleh melihat saya tidak berasa gembira dengan apa yang berlaku, tetapi seperti apa yang saya katakan, kami harus meneruskan perjuangan,” kata Vettel

“Saya dan Mark bukan pilihan pasukan. Kami cuba bersaing sesama sendiri seperti yang sepatutnya.”

“Terdapat banyak perlumbaan lain dan banyak yang akan berlaku – apa yang penting ialah terus melihat ke hadapan.”

Webber, 33, yang menandatangani kontrak baru satu tahun lagi bersama Red Bull sehingga akhir 2011 dan walaupun khabar angin di mana Vettel, 22, akan melanjutkan kontrak sehingga tiga tahun lagi, Webber menegaskan beliau gembira dengan urusan pasukan.

Pemandu Brazil, Felipe Massa juga melanjutkan kontrak bersama Ferrari walaupun pencapaiannya diselubungi rakan sepasukan baru, Fernando Alonso.

“Sepanjang kerjaya saya dalam Formula Satu (F1), saya sentiasa berlumba dengan enjin yang dibuat di Maranello dan ia adalah satu rasa bangga untuk dapat terus bekerja dengan sebuah pasukan yang saya anggap sebagai keluarga kedua,” katanya.

Lewis Hamilton, 25, berharap untuk meneruskan rentak kemenangan dari kejayaan di Turki dan mengulangi pencapaian yang sama yang membolehkan beliau mencapai kemenangan Grand Prix yang pertama pada 2007.

“Saya menang perlumbaan pertama saya di sini (Montreal),” kata beliau.

“Ia kelihatan sudah lama berlaku tetapi saya mempunyai beberapa kenangan hebat pada hujung minggu itu.

“Petak pertama, kereta keselamatan, ketidaktentuan pada pusingan terakhir dan kemudian akhirnya melepasi garisan penamat memberikan satu kelegaan besar dan juga perasaan hebat dalam masa yang sama kepada saya.

“Kembali untuk perlumbaan 2010 adalah hebat kerana ia adalah litar yang pantas dan hebat – saya suka berlumba di sini.”

Juara bertahan, Jenson Button, ketika ini berada di belakang Webber dalam kategori pemandu, memikirkan kereta McLaren beliau sesuai dengan litar pantas Montreal tetapi memberi amaran bahawa kesilapan mungkin memberikan kesan besar kepada pasukan.

“Ia sangat hebat untuk kembali semula berlumba di Montreal selepas setahun menghilang,” kata Button.

“Saya fikir semua orang dalam F1 menyukai bandar raya ini, penduduk dan litarnya, jadi ia sangat sesuai di mana kami kembali semula ke sini – terutama sekali selepas salah satu musim yang hebat yang kami alami sejak beberapa tahun.

“Keadaan litar seharusnya sesuai dengan kereta kami MP4-25, ia memiliki beberapa selekoh perlahan sebelum ke laluan panjang, jadi kami seharusnya dapat menggunakan kombinasi enjin Mercedes-Benz dan pakej aerodinamik untuk bersaing dalam sesi ujian masa kelayakan dan perlumbaan.

“Ia pastinya menarik untuk melihat bagaimana prestasi pasukan di Kanada. Ia litar yang sangat pantas tetapi ia satu litar yang boleh memberi impak be-sar dari kesilapan yang anda lakukan kerana keadaan dinding konkrit yang sangat dekat.

“Kanada sentiasa satu hujung minggu yang sukar diramal dan ia sesuatu yang hebat untuk F1. Saya fikir perlumbaan tahun ini memiliki semua ramuan untuk menjadi perlumbaan klasik.” — AFP