Perancis mahu elak kegagalan awal apabila bertemu Uruguay

0

CAPE TOWN, Johannesburg: Juara dunia atau juara kecundang di pusingan pertama? Perancis sudah mengalaminya sejak beberapa tahun dan memulakan perlawanan pembukaan Kumpulan A menentang Uruguay dengan penyokong tidak pasti apa yang akan berlaku tahun ini.

Peminat pasukan Perancis sudah berputus harapan untuk meramalkan bagaimana pencapaian pasukan mereka dan walaupun pemain kelihatan bersemangat tinggi, masih ada debaran pada perlawanan di Cape Town.

Selepas menjulang trofi pada 1998 dan kemudian memenangi Euro 2000, mereka tewas kepada Senegal pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2002 dan kemudian tersingkir dari kejohanan pada musim pertama.

Mereka bangkit semula untuk melangkah ke final Piala Dunia 2006 tetapi kembali hambar pada Euro 2008 apabila hanya mengutip satu mata.

Selepas bergelut untuk layak ke Afrika Selatan dan menang secara kontroversi pada perlawanan playoff kelayakan menentang Ireland, mereka diletakkan dalam undian kumpulan yang melegakan bersama-sama pasukan tuan rumah, Afrika Selatan, Uruguay dan Mexico.

Namun, kempen persediaan yang kurang meyakinkan berakhir dengan kekalahan mengejut 0-1 kepada China, selain peningkatan tiga pasukan jirannya, harapan penyokong berbelah-bahagi tentang prospek pasukan mereka.

“Apa yang baiknya ialah kami sudah biasa melakukannya dengan cara yang sukar kerana ia adalah apa yang kami lakukan dalam kempen kelayakan,” kata pemain tengah, Jeremy Toulalan. “Kami sedar ia pastinya tidak mudah tetapi kami sudah biasa dengan semua ini dan sudah bersedia.” — Reuters