Polis rampas pistol dalam bekas herba

0

Lelaki miliki rekod salah guna dadah ditahan, dua butir peluru hidup turut dijumpai

SIBU: Pihak polis telah berjaya merampas sepucuk pistol .38 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun, awal pagi semalam.Pistol terbabit yang berisi dua butir peluru hidup serta tiga kelongsong peluru, dijumpai tersimpan dalam satu bekas untuk menyimpan herba.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sibu ACP Shafie Ismail berkata, pihak polis akan menyiasat kes itu secara serius.

“Suspek mungkin berbahaya kerana dia terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan rompakan. Suspek juga pernah ditangkap sebelum ini bagi membantu siasatan kita,” ujarnya pada satu sidang media, semalam.

Menurut Shafie lagi, lelaki terbabit turut mempunyai rekod bagi kesalahan menyalahgunakan dadah dan sedang dibicarakan atas satu kesalahan rompak.

“Suspek telah didakwa mengikut Seksyen 327A Kanun Keseksaan bagi tuduhan merompak serta mencederakan mangsa rompakan,” katanya.

Terdahulu, menurut Shafie, suspek dilihat berkelakuan mencurigakan di Jalan Delta, kira-kira jam 3.30 pagi semalam oleh unit kereta peronda polis.

“Apabila diperiksa, kita menjumpai sebuah komputer riba dalam sebuah beg serta sepucuk pistol yang tersimpan dalam sebuah kotak,” ujar Shafie sambil memberitahu suspek turut membawa sebuah lagi beg yang mengandungi pakaian, dua buah telefon bimbit dan beberapa barangan lain.

Pihak polis, jelas Shafie, turut merampas sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek dan suspek disiasat mengikut Seksyen 8(a), Akta Senjata Api 1960.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kita juga telah mendapat perintah tahanan reman selama empat hari terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Hadir sama ialah Timbalan KPD Sibu, Superintenden Zamani Hamdan, Pegawai Penyiasat Kanan ASP Yeoh Chun Shyang serta pegawai penyiasat kes Inspektor Baharuddin Sabang.