Sibu pusat pengedaran kargo Sarawak

0

Kedudukan geografi, infrastruktur yang baik akan merancakkan aktiviti ekonomi: Lau

SIBU: Infrastruktur yang baik ditambah dengan kedudukan geografi yang strategik dapat membantu bandar Sibu menjadi pusat pengedaran kargo di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, ini sekali gus akan dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi di bandar ini.

“Semua barangan yang dibawa masuk perlu melalui Sibu sebelum diagih-agihkan ke kawasan lain seperti Miri, Bintulu dan sebagainya.

“Ini kerana Sibu mempunyai lokasi yang strategik iaitu menjadi pintu masuk ke kawasan tengah negeri Sarawak,” ujarnya ketika berucap pada sambutan ambang Tahun Baru 2010 di Dataran Bandar Sibu, malam Khamis lepas.

Menurut Lau yang juga Ahli Parlimen Sibu, dengan siapnya keempat-empat jambatan yang menghubungankan bandar ini dengan Tanjung Manis, akan memberi pilihan pengangkutan iaitu melalui jalan udara, darat dan air.

Di samping itu, katanya, industri perkapalan dan pelancongan dilihat mampu menjana lebih banyak aktiviti ekonomi untuk bandar ini.

Untuk itu, Lau menyeru orang ramai tanpa mengira fahaman politik atau ekonomi mereka, agar tidak memberikan gambaran negatif mengenai bandar ini kerana tindakan itu boleh menyebabkan pelabur lari.

“Kita harus membuat yang terbaik untuk menarik pelabur datang dan membantu membangunkan bandar ini,” katanya.

Lau turut menyeru orang ramai agar tidak lupa akan sumbangan Pasukan Pembangunan Berwawasan Barisan Nasional (BN) Sibu, yang telah membawa projek pembangunan bernilai RM2 bilion untuk bandar Sibu.

Ini, katanya, termasuk pembinaan Jalan Sibu-Tanjung Manis, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sibu, projek Rumah Mesra Rakyat di Rantau Panjang serta pembinaan jambatan.

“Semua ini mampu dilaksanakan kerana adanya kerjasama yang baik serta atas usaha pemimpin BN,” tambah Lau.

Beliau juga mahu orang ramai di sini agar berdiri teguh di belakang kerajaan BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Majlsi Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King, Timbalannya Daniel Ngieng Kiong Ann, Setiausaha MPS Hii Chang Kee serta Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.