Masih ada peluang buat S’wak

0

Zaki mahu kemenangan sebagai hadiah perkahwinan buat Mohd Shahrol Saperi

KUCHING: Kekalahan tipis 1-2 di pangkuan Pulau Pinang dalam perlawanan pertama saingan Piala FA di gelanggang lawan Selasa lalu tidak sewajarnya merisaukan Sarawak untuk melakar kemenangan pada perlawanan timbal balik di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini, malam ini (Sabtu).Malah sekiranya kemenangan berpihak kepada Sarawak malam ini, ia sudah pastinya saat yang cukup manis buat para penyokong dan peminat setia pasukan negeri sebagai hadiah perkahwinan buat penyerang Mohd Shahrol Saperi yang akan melangsungkan perkahwinannya hari ini.

“Harapan saya cuma satu sahaja iaitu kemenangan mutlak perlu dicipta oleh pasukan kita (Sarawak) untuk menjamin langkah ke pusingan kedua Piala FA musim ini.

“Malah kemenangan itu nanti akan kita abadikan buat penyerang Mohd Shahrol (Saperi) yang bakal melangsungkan perkahwinannya esok,” kata ketua jurulatih Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Walaupun sedar tugas getir menanti anak-anak buahnya dalam usaha menebus kekalahan pertama kepada Pulau Pinang tempoh hari, Mohd Zaki yakin dengan semangat juang anak-anak buahnya untuk bermain sebaik mungkin malam ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berharap semua pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama malam ini akan mampu memberikan komitmen tinggi di samping berjuang bersungguh-sungguh untuk memburu kemenangan.

“Kita sedar bahawa Pulau Pinang bukan calang-calangnya pasukan yang beraksi dalam Liga Super namun saya yakin pemain-pemain kita tidak mudah alpa.

“Kita masih mempunyai peluang untuk mara ke hadapan dalam saingan Piala FA musim ini, justeru semua pemain perlu membuktikan kewibawaan masing-masing,” katanya.

Mohd Zaki menarik perhatian kehadiran semula kapten Mohd Fadly Kassim yang digantung satu perlawanan mampu memperkasakan lagi benteng Sarawak yang turut diterajui Wong Sai Kong, Mazwandi Zekeria dan Rafiz Abu bakar.

Mohd Zaki turut yakin sentuhan barisan penyerang yang dikemudikan oleh Efendi Abdul Malik dan Zamri Morshidi akan menjadi kenyataan malam ini.

“Kita belum pasti dapat menurunkan Mohd Shahrol kerana beliau juga masih mengalami kecederaan, namun jika beliau dapat diturunkan malam ini sudah pasti pasukan Sarawak lebih bersemangat.

“Mohd Shahrol adalah ‘wira’ pasukan kita yang menjaringkan gol tunggal meskipun ditewaskan oleh Pulau Pinang pada perlawanan pertama lalu,” katanya.

Justeru, Mohd Zaki juga berharap para penyokong pasukan Sarawak dating beramai-ramai membanjiri Stadium Sarawak malam ini sebagai sokongan padu kepada pasukan negeri.

Sarawak akan meneruskan perjuangan dalam kancah Liga Perdana apabila bertandang ke Johor pada 12 Februari ini untuk bertemu dengan Johor MP Muar di Stadium Larkin, Johor Bahru.