Tahap ekonomi nelayan di Sarawak melonjak

0

Mencapai kemajuan ekonomi yang tinggi dengan keuntungan urus niaga RM255 juta pada 2009

BINTULU: Nelayan di negeri ini telah mencapai kemajuan ekonomi yang tinggi dengan keuntungan urus niaga yang dicatatkan adalah RM255 juta pada 2009, iaitu satu peningkatan besar berbanding tahuntahun sebelumnya.Manakala Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu (PNKB) pula merekodkan urus niaga berjumlah RM20 juta, yang nyata memberi pendapatan lumayan kepada persatuan nelayan terbabit,selain menduduki tempat ketiga bagi pengurusan persatuan nelayan terbaik di kalangan persatuan-persatuan nelayan di Sarawak dengan nilai asetnya kini mencecah RM2.7 juta.

Pengarah Negeri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak Razaili Gapor berkata, dengan kedudukan ketiga itu, PNKB dilihat sebagai persatuan yang berjaya dengan pendapatan yang diperolehinya berjumlah RM350,000 setahun pada tahun lepas.

“Ini merupakan satu kejayaan dalam kegiatan ekonomi persatuan ini namun kita berharap PNKB akan memperluaskan lagi aktiviti mereka dengan peranan persatuan adalah menyokong kegiatan ahli-ahlinya supaya ia dapat membantu persatuan terus memperolehi pendapatan yang lebih tinggi,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu (PNKB) di Dewan Suarah semalam.

Razaili berkata, dengan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) oleh kerajaan, negara ini merancang untuk memajukan negeri dengan  harapan rakyat dapat memperolehi pendapatan yang lebih tinggi.

“Kita berharap persatuan dapat membantu membela nelayan yang bukan sahaja dari segi pencapaian kewangan dan ekonominya bahkan meningkatkan peranan dan tanggungjawabnya dengan sedia berkhidmat membela nasih nelayan dalam soal social dan kebajikan,” jelasnya.

Beliau berkata, persatuan turut berperanan meningkatkan pendapatan individu nelayan selari dengan kemajuan yang dicapai oleh kumpulan dan golongan-golongan dalam bidang lain.

Berikutan itu, beliau yang mewakili Ketua Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia dan Pengarah LKIM berkata, persatuan perlu menyusun strategi menjalankan aktiviti berskala besar supaya dapat maju ke depan dengan memperoleh pendapatan lebih tinggi dan tidak ketinggalan memandangkan kawasan ini (Bintulu) sangat berjaya dari segi ekonominya.

“Nelayan Bintulu memberi sumbangan besar dan penting dalam sektor ekonomi negara, iaitu berjumlah RM150 juta nilai pendaratan ikan di negeri ini termasuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Katanya, PNKB perlu menjalankan program yang mampu membangunkan usahawan nelayan dalam bidang pemprosesan hasil laut dengan memberikan bantuan peralatan yang mampu menambah nilai hasil pendapatan mereka.

Beliau menjelaskan, pengurusan PNKB merupakan satu daripada persatuan yang terbaik di Sarawak dari segi peranannya dalam banyak aspek hasil kerjasama baik pengurus dan pengerusi, sekali gus membantu pentadbiran persatuan dengan jayanya.

“Usaha-usaha yang dilakukan oleh barisan pemimpin persatuan ini amat saya hargai dalam menjaga kepentingan ahli, yang telah menjalankan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, iaitu ahli didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya.

Katanya, ramai ahli PNKB juga adalah terdiri daripada kaum wanita teramai di Sarawak lebih-lebih lagi Bintulu merupakan perkampungan nelayan serta mempunyai usahawan wanita dalam pemprosesan hasil laut yang terkenal di negara ini.

Beliau berkata, beberapa produk yang diusahakan oleh ahli-ahli wanita adalah belacan dan sos cili udang yang berpotensi besar untuk berkembang.

“Sos cili udang yang dihasilkan oleh usahawan wanita nelayan ini perlu ditingkatkan pengeluarannya memandangkan bekalan yang ada tidak mencukupi untuk negeri ini.

“Saya cadangkan agar ahli-ahli bekerjasama dengan persatuan untuk memanfaatkan ruang program dengan mengguna pakai teknologi pemprosesan yang mampu meningkatkan hasil dan pendapatan, antaranya pada ketika musim bubuk nelayan di sini mampu mendaratkan tiga hingga lima tan bubuk sehari dengan pendapatan yang diperolehi mencecah RM15,000 sehari,” katanya.

Jelasnya, kawasan Bintulu mempunyai permintaan yang tinggi terhadap bubuk namun berikutan saiz bot nelayan yang kecilserta tidak menggunakan teknologi dalam penuaian hasil tangkapan maka tempat untuk memuatkannya ke dalam bot tidak mencukupi serta bubuk itu tidak dapat dituai kesemuanya.

“Disebabkan itu penuaiannya memerlukan teknologi yang bersesuaian,” katanya sambil menggesa nelayan yang ingin meningkatkan pendapatan mereka agar mendapatkan bantuan peralatan daripada LKIM.

Sementara itu, PNKB telah menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM36,117.41 untuk Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Bintulu termasuk sumbangan bagi membantu menampung kos pembinaan parkir berbumbung van jenazah Masjid Kampung Jepak berjumlah RM5,000, Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Baru (RM3,000), sumbangan khas membantu meringankan beban kewangan pelajar berstatus anak yatim Rohaida Japa ke Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (RM2,500), anugerah dana nelayan contoh PNKB diterima oleh Zainuddin Omar (RM500) dan anugerah nelayan terbaik PNKB diterima oleh Darehim Ridzwan (RM500).

Manakala 11 anak nelayan menerima tabung bantuan pelajaran yang kesemuanya berjumlah RM900, diikuti penerima bantuan bagi geran peralatan untuk program menambah dan mempelbagai pendapatan nelayan berjumlah RM10,000 untuk lima ahli persatuan terdiri daripada Sereniah Hassan, Rohani Mahdi, Hasibah Ahmad, Stiah Asgar dan Dayang Azizah Salwa Ampuan Hamzah.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi PNKB Bakar Sesin sambil disaksikan oleh Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip dan Razaili serta tetamu lainnya.