RM118b dicapai jika SCORE ikut pelan induk

0

KUCHING:Sasaran memperoleh Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM118 bilion menjelang 2030 hanya dapat dicapai jika pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan mengikut pelan induknya.

TERTARIK: Taib mendengar taklimat semasa melakukan lawatan ke tapak pameran selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Ketiga Sumber Air dan Pembangunan Tenaga Diperbaharui Asia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Borneo Kuching (BCCK), semalam. Turut kelihatan timbalan beliau Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (dua, kanan) dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (empat, kanan).

TERTARIK: Taib mendengar taklimat semasa melakukan lawatan ke tapak pameran selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Ketiga Sumber Air dan Pembangunan Tenaga Diperbaharui Asia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Borneo Kuching (BCCK), semalam. Turut kelihatan timbalan beliau Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (dua, kanan) dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (empat, kanan).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata jumlah itu lima kali ganda berbanding KDNK dicapai Sarawak sekarang, sambil memberitahu Sarawak dijangka memperoleh KDNK antara RM70 hingga RM74 bilion pada 2020.

Taib berkata untuk mencapai impian itu asas kukuh bagi pembangunan SCORE harus disediakan terlebih dahulu seperti membekalkan sumber tenaga yang mencukupi pada harga murah.

Beliau menambah untuk memastikan 10 industri utama antaranya industri aluminium, pulpa dan kertas, silikon dan besi di SCORE dapat dilaksanakan dengan jayanya, lebih 20,000 megawatt tenaga elektrik perlu disediakan.

“Sebab itu kita memulakan pembangunan SCORE dengan membina empangan hidroelektrik Bakun yang diikuti empangan hidroelektrik Murun, Baram, Pelagus seterusnya empangan- empangan lebih kecil yang lain.

“Program ini sudah tentu menuntut banyak kerja perlu dilakukan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Program ini menyaksikan kita boleh menghasilkan 3,000 megawatt tenaga elektrik menjelang 2017, seterusnya memenuhi keperluan industri-industri berat di SCORE,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan SCORE, Taib berkata ia adalah permulaan kepada fasa kedua politik pembangunan dan pelan perspektif Sarawak ke arah transformasi sektor ekonomi berpendapatan sederhana ke tinggi.

Taib berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Ketiga Sumber Air dan Pembangunan Tenaga Diperbaharui Asia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Menurut Taib kawasan SCORE yang seluas hampir 700,000 kilometer persegi merupakan kawasan pembangunan sangat padu dan pastinya amat memerlukan sumber tenaga elektrik tinggi.

SCORE katanya dibahagikan kepada lima bahagian yang memfokus kepada industri tertentu antara Samalaju akan dibangunkan sebagai pusat industri berat, Tanjung Manis dimajukan sebagai hab industri makanan khususnya produk halal manakala industri hiliran di Mukah serta perladangan kelapa sawit membabitkan kawasan pesisiran pantai di kawasan SCORE.

Pelan pembangunan seperti itu tambahnya akan memudahkan lagi usaha membina empangan-empangan hidroelektrik tanpa menjejaskan alam sekitar, pada masa sama memenuhi piawaian terbaik penempatan semula yang disifatkan tidak boleh dilakukan sekali gus.

“Menyesuaikan permintaan dengan tawaran adalah factor yang amat kritikal bagi memastikan SCORE dapat dimulakan seperti dirancang.

“Sehingga kini, SCORE berjaya menarik pelaburan asing RM30 bilion daripada RM313 bilion seperti disasarkan dalam pelan induk SCORE,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata timbul persoalan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang diperlukan kerana sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan bakal disediakan di SCORE dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Bagi memenuhi permintaan sekarang, tenaga kerja asing lebih- lebih lagi golongan professional diperlukan dan jumlahnya akan dikurangkan secara berperingkat- peringkat sehingga Sarawak mampu menghasilkan tenaga kerja separuh mahir dan profesionalnya sendiri.

Taib berkata pelan induk SCORE mencadangkan menyediakan satu juta setengah (1.5 juta) peluang pekerjaan dan sebab itu adalah amat perlu untuk Sarawak mendapatkan tenaga kerja terlatih di kalangan rakyat negeri ini pada kadar segera.

“Oleh itu adalah penting pelan pembangunan sumber tenaga dilakukan seiring dengan pelan pembangunan industri di negeri ini,” katanya.

Beliau yakin Sarawak dapat menghasilkan tenaga kerja subprofesional dan professional sendiri dengan penubuhan empat universiti ditambah satu di Mukah memfokus kepada usaha menghasilkan kumpulan teknikal berkemahiran tinggi yang menepati permintaan tenaga kerja di SCORE.