Empat sekawan keluar makan terselamat daripada maut

0

KUCHING: Empat sahabat bernasib baik apabila terselamat selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan ketika dalam perjalanan untuk makan pada awal pagi semalam.

MENYELAMAT: Anggota bomba menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di dalam kereta yang melanggar pokok di BDC, Kuching.

MENYELAMAT: Anggota bomba menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di dalam kereta yang melanggar pokok di BDC, Kuching.

Kemalangan itu berlaku kirakira jam 12.20 pagi di Taman BDC apabila pemandu kereta Proton Aeroback itu hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

Empat sahabat yang berusia antara 22 dan 32 tahun itu terperangkap di dalam kereta yang remuk itu.

Pemandu lain yang lalu di tempat kejadian serta penduduk berdekatan segera menghubungi Jabatan Bomba untuk mendapatkan bantuan.

Dalam kejadian itu dua mangsa yang duduk di kerusi belakang berjaya keluar selepas beberapa minit insiden berlaku dan hanya mengalami cedera ringan.

Namun, dua lagi mangsa yang duduk di hadapan masih terperangkap di dalam kereta sehingga anggota bomba memerlukan masa 40 minit untuk mengeluarkan mereka.

Orang ramai berkumpul di tempat kejadian untuk menyaksikan usaha menyelamat yang pada mulanya menjangkakan perkara buruk telah berlaku apabila penumpang kerusi depan berjaya dikeluarkan dari kereta.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengalami patah kaki kiri dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, pemandu kereta itu dikeluarkan tidak lama selepas itu dan mengejutkan orang ramai di tempat kejadian apabila dia dapat berjalan ke usungan tanpa bantuan dan mendapat rawatan daripada paramedik di tempat kemalangan.

Mangsa dihantar ke hospital dan dimasukkan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Anggota polis trafik berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Dalam kemalangan berasingan, seorang pemandu kereta memerlukan jahitan di bahagian kepala selepas sebuah kereta hilang kawalan lalu merempuh kenderaannya.

Lelaki berusia 30-an itu dalam perjalanan ke rumah mertuanya di Batu 12, Jalan Kuching-Serian sekitar jam 9.45 malam apabila nahas berlaku di Kota Sentosa.

Menurut ahli keluarga mangsa, sebuah kereta Proton Satria dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum ia melanggar pembahagi jalan dan merempuh Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

Pemandu kereta Satria tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kedua-dua kereta terbabit rosak teruk.