Imam dipaksa isi borang persaraan

0

Pegawai tertentu dipilih isi borang JAIK itu

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah semalam mendedahkan sekumpulan imam, bilal dan siak di negeri itu dipaksa mengisi borang permohonan persaraan (M4) oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).Menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik, Ahmad Bashah berkata perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh individu yang terlibat.

“Saya difahamkan hanya pegawai-pegawai masjid tertentu yang diminta mengisi borang M4 yang dikeluarkan JAIK sejak seminggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun)  bagi kawasan Parlimen Alor Setar, Kuala Kedah dan Pendang, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu tidak pernah berlaku sepanjang Kedah ditadbir oleh Barisan Nasional memandangkan lantikan dibuat atas perkenan Sultan Kedah.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Imam, bilal dan siak yang berkhidmat sekarang masih mampu memberikan khidmat mereka. Mereka sewajarnya dibiarkan untuk bersara secara sukarela, bukan dengan paksaan,” katanya.

Beliau seterusnya meminta JAIK agar menimbang semula tindakan mereka itu. — Bernama