Tinggal kejuaraan Liga Perdana Inggeris buruan United

0

MANCHESTER, England: Sir Alex Ferguson mengakui Manchester United harus memenangi lima perlawanan terakhir dalam Liga Perdana Inggeris sekiranya mahu menyelamatkan sesuatu dari musim yang tiba-tiba merudum dengan mendadak dalam tempoh seminggu.Ketika anak-anak buah Ferguson berlepas ke Jerman untuk perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, mereka berada di atas landasan untuk memenangi tiga kejuaraan.

Namun demikian, dalam tempoh lapan hari, impian mereka hancur berkecai apabila terlepas pendahuluan liga selepas tewas 1-2 kepada Chelsea dan kemudian tersingkir dari pentas Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Walaupun tewas 1-2 di Munich, United kelihatan bersedia membuat persiapan bagi perlawanan separuh akhir apabila gol awal Darron Gibson dan dua gol Nani meletakkan United pada kedudukan 4-2 secara agregat di Old Trafford.

Namun Ivica Olic merapatkan kedudukan sebelum rehat dan kemudian pemain pertahanan United, Rafael da Silva dibuang padang, sekali gus memberikan kepada Bayern ruang untuk menjaringkan gol kedua menerusi Arjen Robben.

Ia sudah cukup memusnahkan impian United dan Ferguson tahu satu-satunya peluang mereka menambah kejuaraan selepas memenangi Piala Liga Inggeris adalah untuk terus bersaing dalam Liga Perdana Inggeris sambil berharap Chelsea – dua mata di singahsana liga – tercicir mata.

“Ia bukannya satu kebetulan. Kami mengalami tiga keputusan buruk, ia tidak boleh jadi satu kebetulan. Memang tidak dipercayai untuk kelab kami,” kata Ferguson.

“Kami berdepan satu situasi di mana kami tersingkir dari Piala Eropah dan harus menang lima perlawanan terakhir kami.

“Cukup jelas. Tiada isu lain. Kami harus melakukannya.”

Percubaan United untuk memintas Chelsea bermula Ahad ini di Blackburn, di mana mereka akan beraksi tanpa Wayne Rooney selepas kepulangan mengejut penyerang itu daripada kecederaan pergelangan kaki berakhir dengan satu lagi kecederaan.

Rooney tidak dijangka dapat bermain sehingga dua minggu lagi selepas Ferguson memilih untuk mengambil risiko dengan menurunkan penyerang antarabangsa England itu dan ia membawa padah apabila Rooney terpaksa dikeluarkan dalam separuh masa kedua kerana kecederaan.

“Ia hanya kecederaan di bawah buku lali. Beliau tidak akan berehat terlalu panjang. Ia bukan satu kecederaan serius. Beliau tidak bernasib baik,” kata Ferguson.

“Saya tidak fikir beliau dapat diturunkan Ahad ini tetapi beliau akan kembali bermain minggu hadapan.”

Ferguson memberikan sedikit pujian untuk Ba-yern kerana berjaya bangkit, sebaliknya memilih untuk mengkritik Bayern kerana menyebabkan Rafael dibuang padang pada minit ke-50 apabila menarik jersi Franck Ribery.

Ferguson merasakan kad merah itu menjadi titik penentu kegagalan pasukannya melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Ia sememangnya sukar untuk diterima. Dalam satu sudut, saya akan berkata kami mensia-siakannya, tetapi dalam sudut lain, saya boleh berkata kami tidak bernasib baik,” kata Ferguson.

“Dengan 10 pemain pada perlawanan yang sangat penting ini, ia sangat sukar. Mereka menguasai bola hanya selepas kami kehilangan seorang pemain.

“Hanya selepas itu mereka mempunyai satu peluang, tandukan daripada Mario Gomez sebelum gol cantik daripada Robben.

“Tuah adalah sebahagian daripada permainan. Kita harus menerimanya. Banyak kali kami berasa bertuah tetapi Bayern terus membawa tuah mereka pada perlawanan ini.” — AFP