Ibu terbeban menyara tujuh anak yang masih bersekolah

0

BINTANGOR: Hidupnya bagaikan bergantung tanpa tali dan yang sengsara adalah anak-anaknya yang seramai tujuh orang.Ensingan Suku, 33, yang ditinggalkan suaminya 11 tahun yang lalu, kini hidup terumbang-ambing bersama tujuh orang anaknya yang masih bersekolah.

Menurut Ensingan, tujuh orang anaknya itu masih berusia satu tahun hingga tujuh tahun ketika suaminya, Benjamin Dian Senaun meninggalkan mereka 11 tahun

lepas.

Sejak itu Ensingan terpaksa bekerja mengambil upah untuk menyara anak-anaknya.

Ensingan bagaimanapun bernasib baik kerana ibu bapanya sudi berkongsi beban yang ditanggungnya, dengan membenarkan mereka sekeluarga tinggal bersama mereka.

“Ibu bapa saya turut membantu menyara anak-anak saya serta mengeluarkan belanja untuk membiayai persekolahan anak-anak saya seramai tujuh orang,” tambahnya.

Namun, Ensingan sudah tidak terdaya lagi untuk terus menanggung beban yang semakin berat memandangkan kesemua tujuh orang anaknya masih bersekolah.

Anak lelakinya yang sulung baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas sementara lima orang lagi masih dalam Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, manakala yang bongsu dalam Tahun Lima.

Hasrat untuk meringankan bebannya bagaimanapun menemui jalan buntu apabila Jabatan Kebajikan menolak permohonannya untuk mendapatkan bantuan kebajikan daripada jabatan berkenaan.

“Permohonan saya itu ditolak gara-gara kegagalan saya menerangkan secara khusus apa sebenarnya telah berlaku kepada keluarga saya,” kata Ensingan.

Katanya, walaupun dia dan anak-anaknya telah ditinggalkan oleh suaminya untuk tempoh yang sekian lama, namun tiada dokumen untuk membuktikan yang dia dan suaminya telah bercerai.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada suami saya agar meluangkan sedikit masa untuk menyelesaikan masalah keluarga kami.

“Sekiranya dia (suami) mahu kembali ke pangkuan saya dan anak-anak, kami amat mengalu-aklukan tetapi jika sebaliknya, saya merayu kepadanya untuk meluangkan sedikit masa untuk menguruskan hal perceraian kami secara sah, tambah Ensingan.