Tiga sahabat ditahan polis kerana mencuri ayam

0

KUCHING:Tindakan menyembunyikan ayam-ayam dicuri untuk menghapuskan bukti gagal menyelamatkan tiga sahabat daripada dicekup apabila tompokan darah seekor daripada empat ayam yang disembelih itu ditemui anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).Sekitar jam 8.30 malam Selasa lepas, sepasukan anggota RELA dari Sungai Moyan di Batu Kawah terlihat gelagat mencurigakan ketiga-tiga suspek yang meninggalkan ladang ternakan ayam sambil membawa satu guni berwarna putih mengandungi sesuatu.

Ladang penternakan ayam telur sering menjadi sasaran pencuri sebelum ini sehingga membuatkan pemiliknya meminta bantuan daripada orang ramai dan anggota RELA mengawal persekitaran ladang terutamanya pada waktu malam.

Ketika memeriksa kawasan ladang, anggota RELA mendapati empat ekor ayam hilang dan terus menjejaki suspek hingga ke sebuah rumah kedai tidak jauh dari situ.

Mereka kemudiannya menunggu suspek memasuki sebuah unit di tingkat satu sebelum mengetuk pintu dan memperkenalkan diri kepada ketiga-tiga suspek yang ketika itu berada di dalam rumah.

Setelah beberapa minit menanti, akhirnya salah seorang daripada suspek membuka pintu dan menafi dengan sekeras-kerasnya mereka telah mencuri beberapa ekor ayam apabila ditanya mengenai insiden itu.

Mereka kemudiannya membenarkan anggota RELA terbabit masuk ke dalam rumah tersebut untuk menyiasat sebagai buktinya mereka tidak mencuri.

Selepas mencari di merata tempat, anggota RELA gagal menemui ayam yang dicuri dan mengambil keputusan menghentikan usaha mencari bukti, salah seorang daripada mereka terlihat tompokan darah dipercayai darah menitik dari siling rumah.

Bukti itu mendorong anggota RELA mengalihkan papan siling dan menemui sebuah guni

Tompokan darah itu adalah darah salah satu daripada empat ayam dicuri yang disembelih sebaik suspek tiba di kediaman mereka hanya beberapa minit sebelum anggota RELA tiba.

Melihat helah mereka gagal, salah seorang daripada suspek keluar dari unit itu dan melarikan diri tetapi tiga lagi rakannya berjaya ditangkap yang seterusnya diserahkan kepada polis di Balai Polis Batu Kawah.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di lokap bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.