Nadal balas dendam ke atas Federer di Madrid

0

MADRID, Sepanyol: Rafael Nadal mencipta rekod kejuaraan Siri Master yang ke-18 dalam kerjayanya apabila menewaskan musuh lama, Roger Federer 6-2 dan 7-6 (7/5) pada final Siri Master Madrid, sekali gus memberikan kelebihan psikologi menjelang Terbuka Perancis lewat bulan ini.Jaguh Sepanyol itu, yang merampas kembali ranking nombor dua dunia awal minggu lalu, menjadi pemain pertama untuk memenangi tiga kejuaraan utama secara berturut-turut sebelum Terbuka Perancis dan kemenangan itu juga memberikannya trofi Siri Master yang ke-18, lebih satu kejuaraan berganding Andre Agassi dan lebih dua di hadapan Federer.

Setahun yang lalu, Federer menewaskan Nadal di final dan membawa rentak kemenangan itu dengan muncul juara di Terbuka Perancis buat kali pertama apabila menewaskan Robin Soderling di final.

Nadal sekarang akan berlepas ke Paris dengan penuh semangat untuk menebus kekecewaan tewas di pusingan keempat kepada Soderling dan merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya empat tahun berturut-turut sebelum Federer muncul juara tahun lepas.

“Mencapai kemenangan di tanahair sendiri adalah satu impian,” kata Nadal, yang memenangi kejuaraan Siri Master di Monte Carlo dan Rom sebelum di sini.

“Tidak pernah dalam bayangan saya walau sekalipun bahawa saya akan memenangi kesemua tiga kejohanan besar ini,” tambah beliau, yang masih belum tewas di permukaan tanah liat musim ini dengan mencatat 15 kemenangan setakat ini.

Nadal, sekarang dengan 39 kejuaraan, mendahului 14-7 ke atas Federer dalam pertemuan kedua-dua pemain, menang 10 daripada 12 perlawanan terakhir.

Beliau sekarang memiliki rekod 28-2 pada final di permukaan tanah liat, dengan dua kekalahannya kepada Federer termasuk di Madrid setahun yang lalu.

Walaupun tewas, Federer berkata: “Musim gelanggang tanah liat tidak akan dinilai di sini tetapi di Paris.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam tiga minggu akan datang. Saya merasakan saya sudah bersedia untuk (kejohanan) Paris. Saya merasakan satu peningkatan besar dalam permainan saya berbanding minggu lepas apabila saya datang di sini dari Estoril.”

Federer terlepas peluang untuk mengulangi kejayaannya di final tahun lepas apabila tewas mudah dalam set pertama dan melakukan satu kesilapan besar pada mata akhir permainan ‘tiebreak’ set kedua.

“Ia adalah satu kejohanan yang hebat bagi saya,” kata Federer. “Saya meminta maaf kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan kerana Rafa mempunyai musim tanah liat yang hebat. Beliau cukup kuat hari ini.”

Dalam bahagian wanita, pemain tidak terkenal, Aravene Rezai meletakkan dirinya sebagai pencabar kejuaraan di Terbuka Perancis apabila mengejutkan Venus Williams dari Amerika Syarikat (AS) di final.

“Terbuka Perancis adalah satu lagi kejohanan dan saya akan mencuba sebaik mungkin pada perlawanan pertama,” kata beliau.

“Setiap perlawanan adalah sukar. Jadi saya haruslah mengharungi semuanya satu persatu.”

Kejutan berlangsung dalam masa kurang satu jam setengah itu merupakan kemenangan terbesar dalam kerjaya pemain dari Perancis itu, yang hanya memenangi dua kejuaraan WTA sebelum ini iaitu di Strasbourg dan Bali.

Kemenangan Ahad lepas adalah kemenangan ketiga ke atas jaguh tenis minggu ini selepas menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia, Justine Henin di pusingan pertama dan Jelena Jankovic di suku akhir.

Rezai dijangka akan memasuki senarai 20 pemain terbaik dunia selepas kemenangan ini. — AFP