STA setuju bayar RM12 sehari kepada pekerja am Indonesia

0

KUCHING: Ahli-ahli Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) telah memutuskan untuk membayar sebanyak RM12 sehari kepada pekerja am warga Indonesia bermula bulan ini hingga 31 Disember.

Pengerusi STA Datuk Wong Kie Yik berkata jumlah gaji harian berkenaan akan diperuntukkan semasa tempoh enam bulan pertama kajian bebas mengenai gaji pekerja Indonesia sekarang.

Beliau berkata kajian itu dipersetujuai STA dan Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Rafail Walingitan pada 31 Mac.

“Kajian bebas itu merangkumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan akan dikendalikan oleh sebuah universiti tempatan.

“Hasil kajian akan dijadikan rujukan sah oleh kedua-dua pihak (pihak berkuasa Indonesia dan STA) untuk menetapkan gaji yang saksama dan sewajarnya untuk pekerja Indonesia.

“Memandangkan kajian itu penting dan bagi memastikan kebolehpercayaannya, kajian bebas itu memerlukan masa enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Disember untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan.

Beliau juga berkata STA sentiasa berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching bagi membincangkan gaji harian yang berpatutan bagi pekerja harian Indonesia dalam industri perhutanan khususnya mereka yang bekerja di kilang-kilang kayu dan papan lapis.

Kenyataan Wong dikeluarkan berkemungkinan sebagai reaksi kepada kenyataan yang dibuat oleh Rafail dalam tabloid kebangsaan baru-baru ini.

Rafail memberitahu tabloid berkenaan, kini sudah tiba masanya bagi syarikat di Sarawak khususnya dalam bidang pembalakan dan perladangan untuk menaikkan gaji asas pekerja Indonesia bagi menarik minat mereka bekerja di negeri ini.

Konsulat telah menetapkan gaji asas minimun bagi warga Indonesia di kilang pemprosesan kayu pada kadar RM12 sehari dan ladang antara RM19 hingga RM24 berbanding RM14 hingga RM18 sehari sekarang.

Gaji minimum dilaporkan setinggi RM10 sehari di kilang papan.

Rafail berkata konsulat mereka tidak akan meluluskan permohonan untuk merekrut pekerja Indonesia jika syarikat tidak setuju membayar gaji minimum.

Mengakui bahawa Sarawak sedang menghadapi kekurangan pekerja yang serius dalam industri perladangan dan kayu, Rafail berkata jumlah pekerja Indonesia sudah turun sebanyak lima hingga 10 peratus setahun sejak 2007.

Beliau berkata ramai warga Indonesia kini lebih memilih untuk bekerja di Timur Tengah, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong yang menawarkan dua atau tiga kali ganda gaji yang ditawarkan di Sarawak.

Beliau memberitahu, kini Sarawak mempunyai kira-kira 185,000 pekerja Indonesia berbanding lebih 250,000 pekerja semasa tempoh kemuncak sebelumnya.