MIDF sahkan semula saranan ‘beli’ saham Sime Darby

0

KUALA LUMPUR: MIDF Research semalam mengesahkan semula saranan “beli” terhadap saham Sime Darby Bhd, dengan kemungkinan akan terdapat banyak pengiraan semula dibuat berhubung tiga projek lain iaitu projek Qatar, Marine dan Bakun. Harga sasaran kekal pada RM11.86.

“Kami percaya pengurusan konservatif dan melaksanakan segala usaha dalam tahun kewangan 2010,” demikian menurut firma penyelidikan itu.

MIDF berkata firma menyukai Sime Darby memandangkan pertumbuhan pendapatannya akan terus disokong oleh kenaikan dalam kawasan tanaman matang, pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi serta peningkatan prestasi bahagian utiliti dan tenaganya.

Sementara itu, HwangDBS Vickers Research mengunjur Sime Darby bakal mencatatkan pendapatan kukuh separuh kedua tahun kewangan 2011 dengan pelancaran hartanah dan peningkatan hasil tandan buah segar.

Ia juga mengulangi saranan “beli” bagi Sime Darby dan menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2011 sebanyak tiga peratus bagi mencerminkan kesan perjanjian yang ditandatangani oleh anak syarikat milik penuhnya dengan Maersk Oil Qatar (MOQ) pada 17 Mac. — Bernama