Tottenham galas misi mustahil

0

GIGIH: Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo (tengah) dan pemain pertahanan Marcelo (kanan) berlatih sambil disaksikan oleh penjaga gol Jerzy Dudek pada sesi latihan di Madrid, Sepanyol semalam. Real Madrid akan berdepan Tottenham malam ini. — Gambar AFP

Redknapp seru pasukan berjuang habis-habisan berdepan Real Madrid malam ini

LONDON, England: Harry Redknapp menegaskan Tottenham Hotspur akan berjuang habis-habisan walaupun berdepan misi mustahil menentang Real Madrid pada perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara di sini malam ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

TANDUK: Pemain tengah Real Madrid, Kaka menanduk bola ketika menjalani sesi latihan di Madrid, Sepanyol semalam. Real akan menentang Tottenham pada perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara di White Hart Lane, London malam ini. Real mendahului 4-0 dari segi agregat. — Gambar AFP

Redknapp mengakui pasukannya bukan pilihan selepas tewas 0-4 pada perlawanan pertama di Sepanyol minggu lepas tetapi beliau tetap menuntut komitmen sepenuhnya daripada anak-anak buahnya unuk misi mereka di White Hart Lane.

Peluang Real di bawah kendalian Jose Mourinho untuk mensia-siakan pendahuluan gol yang sangat besar itu sememangnya tipis tetapi Tottenham boleh mengimbau kembali pencapaian mereka pada awal musim ini.

Mereka ketinggalan 0-3 sebelum menewaskan Young Boys Berne dalam pusingan kelayakan dan hampir mengikat Inter Milan di San Siro walaupun ketinggalan 0-4 ketika bermain dengan 10 pemain dan Redknapp mahu mengingatkan dua perlawanan itu kepada pemain-pemainnya sebelum sepak mula.

“Saya lihat pencapaian kami sepanjang musim ini dan saya yakin kami masih belum terkeluar lagi. Tiada apa yang mustahil. Siapa tahu apa yang boleh berlaku,” kata Redknapp.

“Para penyokong sudah mengetahuinya bahawa Rabu ini, kami akan memberikan segala-galanya.

“Tetapi Real Madrid boleh menghukum anda jika anda tidak berhati-hati kerana Cristiano Ronaldo boleh merampas bola dan berlari sejauh 80 meter dan anda sudah mula menggelabah.

“Real Madrid mungkin mene-waskan kami 4-0 dengan 11 pemain, mereka berupaya melakukan sesuatu seperti itu. Mereka mempunyai pemain yang berbahaya dan hebat belaka.”

Jika ia adalah penamat kempen pertama Tottenham dalam Liga Juara-Juara sejak 1962, Redknapp berasa yakin beliau tidak berasa kesal kerana gagal melangkah ke final di Wembley.

Kemenangan manis ke atas Inter Milan dan AC Milan sememangnya kemuncak kejayaan pasukannya tetapi terus bersaing lebih lama dalam pertandingan ini berbanding kelab jirannya, Arsenal, juga satu pengalaman manis untuk kelab yang sentiasa dibayangi oleh jiran mereka di utara London itu.

“Tiada rasa kekesalan dalam diri saya, Liga Juara-Juara cukup hebat bagi kami,” kata Redknapp.

“Liga Juara-Juara tiada bandingannya, ia nyata kelas yang berbeza, satu tahap yang sangat berlainan.

“Ia satu pencapaian yang hebat di kelab dan para penyokong mengharungi beberapa saat yang hebat musim ini,”

Ketika Redknapp tidak akan dapat menurunkan penyerang Peter Crouch, yang digantung selepas menerima kad merah pada perlawanan pertama, pemain sayap, Aaron Lennon pula dijangka akan diturunkan selepas pulih daripada masalah kesihatan yang menyebabkannya menarik diri sebelum sepak mula perlawanan pertama di Bernabeu minggu lepas.

Para penyokong Spurs pastinya mengawasi penyerang Real, Emmanuel Adebayor, yang menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama selepas beliau menuduh penyokong Spurs mengejeknya dengan unsur perkauman semasa perlawanan pertama.

Walaupun saingan dilihat sudah berakhir dan Real berhadapan pertarungan harus menang menentang Barcelona pada hujung minggu ini, Mourinho tidak dijangka merehatkan pemain-pemain utama menentang Spurs ketika beliau mahu membimbing kelab ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2003.

Mourinho, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Porto dan Inter Milan, tahu Real menganggap pertandingan ini sebaagi penilai sebenar keupayaan seorang jurulatih dan beliau berpeluang memberikan kejuaraan pertama untuk Real dalam pertandingan berprestij ini sejak 2002.

“Saya bersemangat untuk mencapai kejayaan dan menggembirakan orang. Memenangi trofi Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang benar-benar mempunyai impak ke atas peminat,” kata Mourinho ketika memberitahu Uefa.com.

“Sehingga akhir kerjaya saya, saya akan sentiasa cuba memenanginya sekali lagi tetapi saya tidak mahu kemaruk dengannya.” — AFP