Rombakan kabinet negeri selepas Persidangan DUN

0

TAIB

Kabinet sedia ada hanya sementara sehingga rombakan semulaOleh Jessica Jawing

KUCHING: Rombakan kabinet negeri dijangka dilakukan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 20 hingga 29 Jun depan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kabinet negeri yang sedia ada merupakan sementara sehingga ia dirombak semula sejurus selepas persidangan.

“Ia (kabinet) sementara sahaja, selepas persidangan DUN baru saya akan umumkan kepada anda (pemberita),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Pada 18 April lalu, lapan menteri mengangkat sumpah sebagai ahli kabinet negeri yang baru selepas Barisan Nasional (BN) sekali lagi di-berikan mandat membentuk kerajaan negeri.

Kesemua mereka yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Ne-geri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Dewan Lapau Bangunan DUN baru di sini, kekal memegang portfolio lama selepas Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan tidak dilantik semula berikutan kekalahan beliau di kerusi DUN Piasau.

Sementara itu pada mesyuarat kabinet bulan lalu, Taib yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat menyatakan semua portfolio menteri kabinet sebelum ini masih dikekalkan.

Bagaimanapun katanya, ia hanya bersifat sementara sehingga rombakan kabinet dilakukan nanti.

Mengetuai upacara tersebut ialah Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu sebagai Timbalan Ketua Menteri yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Turut mengangkat sumpah, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Kemajuan Tanah diikuti Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan Ikom yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.

Selain itu Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah.