‘Ulat’ parkir berleluasa

2

BERLELUASA: Seorang atendan haram kelihatan meminta yuran parkir daripada pemilik kenderaan sepanjang hujung minggu di Stadium Sarawak dan Stadium Negeri, Kuching.

KUCHING: Kelibat atendan haram atau ‘ulat’ di tempat letak kenderaan didapati seperti cendawan tumbuh selepas hujan semasa berlangsungnya acara besar di Stadium Sarawak dan Stadium Negeri di sini.

Kedua-dua lokasi ini menjadi tumpuan atendan haram ini untuk mengaut keuntungan daripada ratusan pemilik kenderaan yang tiba untuk menyaksikan Karnival Jom Heboh dan Sarawak Cub Prix, semalam.

Seperti ejen insurans kenderaan, atendan-atendan haram ini mengenakan caj antara RM2 hingga RM5 (bergantung kepada lokasi) kepada pemilik kenderaan sementara motosikal dikenakan RM2.

Melihat ratusan kenderaan dan keluarga berpusu-pusu ke stadium menghabiskan masa hujung minggu, sebahagian daripada atendan haram ini turut menggunakan kanak-kanak untuk meminta bayaran sebaik pemandu keluar dari kenderaan.

“Oleh kerana bimbangkan keselamatan kereta saya dan tanpa pihak berkuasa di sekitar kawasan ini, saya tiada pilihan lain kecuali terpaksa membayar caj yang mereka kenakan.

“Ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar, kerana tempat letak kenderaan tersebut sepatutnya bebas daripada sebarang caj oleh mana-mana pihak,” kata Sebastian Joseph sambil mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak.

Sebastian yang merupakan salah seorang daripada pengunjung turut menjelaskan bahawa selain karnival dan perlumbaan motosikal, atendan haram berkenaan turut bertindak serupa ketika perlawanan bola sepak di Stadium Negeri.

Menurutnya, tidak mustahil  atendan-atendan haram ini adalah individu sama yang mengenakan bayaran kepada pengunjung kedua-dua stadium sebelum ini terutama ketika berlangsung perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Sarawak.

“Saya berharap agar pihak berkuasa berkaitan akan menempatkan atendan tempat letak kenderaan mereka ketika berlangsungnya acara seperti ini agar tiada mana-mana pihak yang bertindak mengumpul bayaran parkir kereta sesuka hati,” ujarnya.

Beliau juga berkata dengan atendan yang dilantik, mereka juga boleh bertindak sebagai mata dan telinga Lembaga Stadium Negeri Sarawak serta polis bagi mebanteras kegiatan haram ini.