Ferguson puji sikap Berbatov

0

DIMITAR BERBATOV

LONDON, England: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson memberikan pujian yang tinggi kepada pendekatan Dimitar Berbatov kepada latihan pra-musim ekoran kekecewaan tidak tersenarai dalam skuad pada final Liga Juara-Juara menentang Barcelona Mei lepas.

Ramai pemerhati meramalkan Berbatov akan bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab selepas tidak langsung tersenarai dalam skuad untuk final itu dan penyerang antarabangsa Bulgaria itu juga enggan menonton perlawanan di tempat duduk biasa.

Ferguson berkata beliau akan bersimpati dengan Berbatov sekiranya pemain itu menuntut perpindahan pada penutup musim tetapi berkata penyerang itu telah menunjukkan keazamannya semula semasa latihan pra-musim.

“Apa yang boleh saya katakan ialah beliau (Berbatov) seorang pemain yang hebat dan berkelas pertama,” kata Ferguson ketika memberitahu akhbar The Guardian.

“Latihan beliau cukup baik. Tidak tersenarai di final sememangnya sukar tetapi ada tujuh atau pemain lain yang juga berasa kecewa kerana tidak beraksi.”

Ditanya jika beliau faham sekiranya Berbatov mahu berpindah, Ferguson berkata: “Ya, saya fikir begitu. Tetapi anda boleh berkata begitu tentang mereka semua. Saya tidak memilih pasukan yang sama setiap minggu. Saya hanya melakukannya sekali dalam tiga tahun terakhir.

“Ya, pemain akan berasa kecewa kerana tidak bermain beberapa minggu tetapi akhirnya, ia akan membantu pasukan. Pada masa kami sampai ke hujung bulan Mei musim hadapan, kami harus bermain dengan baik.”

Ferguson berkata keputusan menurunkan Javier Hernandez berbanding Berbatov untuk final adalah keputusan jelas.

“Ia begitu jelas bagi saya. Chicharito (Javier Hernandez) bermain dengan baik di mana anda harus menurunkannya dalam setiap perlawanan kerana beliau begitu mengancam pertahanan lawan,” katanya. — AFP