S’wak rancang bina talian penghantaran ‘tulang belakang’

0

BETONG: Kerajaan negeri merancang untuk membina talian penghantaran tulang belakang yang bernilai berbilion-bilion ringgit bagi menyediakan keselamatan dan bekalan kuasa yang lebih baik kepada rakyat, dedah Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menurutnya, pada masa ini Sarawak hanya mempunyai satu talian grid kuasa yang menghubungkan Miri ke Lundu.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa kita sekarang supaya apabila berlaku kegagalan kuasa dalam sistem grid, garisan tulang belakang penghantaran boleh menyedia-kan gelung (garisan alternatif) untuk memastikan bekalan kuasa tanpa gangguan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pampasan kepada pemilik tanah dan menyerahkan Tanah Rizab Masyarakat Bumiputera di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.

Katanya, Fasa I talian penghantaran tulang belakang tersebut ialah dari Samalaju ke Sibu, yang melibatkan kos kira-kira RM2 bilion yang kini masih dalam proses perangkaan.

Awang Tengah berkata bahawa garis tulang belakang penghantaran akan mempunyai kapasiti sebanyak 500 kv, sementara sistem grid yang ada sekarang mempunyai kapasiti 275 kv.

“Pada masa sama, kita juga perlu lebih kuasa terutamanya dari Empangan Hidroelektrik Bakun (Empangan Bakun) untuk menyediakan tenaga yang amat diperlukan bagi projek-projek kuasa intensif terutama di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan juga untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pertumbuhan organik, “ katanya, sambil menambah bahawa Sarawak kini menggunakan antara 1,100 MW hingga 1,200 MW manakala bekalan daripada semua punca ialah sekitar 1.500 MW.

Beliau berkata walaupun HEP Bakun telah dapat menyediakan 300 megawatt tenaga elektrik kepada sistem grid sejak 6 Ogos lepas, pengambilan kuasa sebenarnya hanyalah 180 MW.

Katanya, kuasa dari Bakun masih di peringkat awal dan kerajaan tidak mahu bergantung kepadanya terlalu banyak kerana ia boleh menimbulkan masalah seperti apa yang berlaku pada hari Selasa lepas.

Ketika operasi perjalanan kuasa di Empangan Bakun telah menyebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh negeri bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua melahirkan keyakinan bahawa apabila kuasa dari empangan menjana elektrik sepenuhnya dimanfaatkan pada masa akan datang, mereka akan dapat menarik lebih ramai pelabur luar terutamanya yang terlibat dalam industri berat dan kuasa yang intensif seperti peleburan aluminium, poli-silikon, logam silikon, besi silikon dan lain-lain industri yang tinggi tenaga intensifnya.

Sarawak dijangka menghasilkan kira-kira MW 7500 kuasa pada tahun 2020, yang mana lebih kurang 80 peratus akan dibekalkan oleh Empangan Bakun.