Kaji semula program pembangunan

0

Skuad sepak takraw banyak bergantung kepada pemain lama walau gagal pamer prestasi baik

DATUK ZOLKPLES EMBONG

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disaran mengkaji semula program pembangunannya bagi melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw yang berkemahiran.

Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata skuad sepak takraw negara kini hanya bergantung kepada pemain lama meskipun mereka gagal mempamerkan prestasi yang baik di pentas antarabangsa.

“Tidak perlu formula yang istimewa (untuk meningkatkan prestasi) kalau perkara asas seperti servis pun tak boleh nak angkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam.

Beliau mengulas kekalahan regu negara kepada Indonesia pada suku akhir Siri Super I di Bangkok, Sabtu lepas.

Katanya PSM perlu menggunakan segala kepakaran yang ada untuk menubuhkan pasukan pelapis yang berkebolehan supaya nama negara sebagai gergasi sepak takraw tidak tenggelam dalam arena antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kekalahan itu sebagai sesuatu di luar dugaan.

“Kalau kalah pada perlawanan akhir itu biasa, tapi kalau pada suku akhir, itu sesuatu yang luar biasa. Pasti kita nak tahu sebabnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zolkples menegaskan bahawa MSN tidak pernah mengabaikan kebajikan atlet seperti yang didakwa oleh pelari pecut negara, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, mengenai tindakan badan pentadbir sukan itu menarik balik elaun dan kemudahan kepadanya.

Zolkples berkata MSN mengambil tindakan itu terhadap Norjannah Hafiszah kerana tidak hadir menjalani latihan sejak Jun lepas.

“Sepatutnya sebagai seorang atlet negara, Norjannah perlu tahu tanggungjawabnya dan tidak sepatutnya melarikan diri pada 26 Mei lepas tanpa memberitahu MSN terlebih dahulu.

“Ibarat pekerja tidak datang bertugas, maka majikan tidak akan bayar gaji, begitu jika MSN tidak akan bayar elaun kepada atlet yang tidak datang berlatih tanpa sebarang alasan,” katanya.

Norjannah Hafiszah bersama lima atlet olahraga lain terdiri Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohammad, Yee Ye Ling, Nurul Sarah Abdul Kadir dan atlet pecut 100m lelaki, Mohammad Noor Imran A. Hadi didakwa ‘melarikan diri’ daripada ujian antidoping oleh Institut Sukan Negara (ISN) hujung Mei lepas.

Zolkples menegaskan bahawa bahawa mana-mana atlet kebangsaan tidak seharusnya mengambil tindakan sedemikian kerana mereka berada di bawah naugan MSN dan persatuan sukan yang mereka wakili. — Bernama