KWPS terbaik dalam pengurusan kewangan

0

KOTA KINABALU: Laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara tahun lalu menunjukkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di kedudukan pertama dalam pengurusan kewangan.

Pengurus Jabatan Perhubungan Awam KWSP, Ahmad Fauzi Kamarudin berkata markah yang diperolehi oleh KWSP melepasi 90 markah dalam kalangan 12 Badan Berkanun Persekutuan terbaik dalam negara. Prestasi yang dicapai ini mengatasi prestasi terbaik yang dicatat pada tahun 2007.

Katanya, pengurusan kewangan KWSP diberikan penarafan sangat baik menerusi kepimpinan dan komitmen tinggi dari Lembaga Pengarah, pengurusan atasan dan pegawai KWSP yang telah mewujudkan satu rangkaian sistem pengurusan yang amat berkesan bagi memastikan objektif KWSP tercapai.

“Laporan itu menegaskan KWSP disokonog kukuh oleh pengurusan sumber manusia yang kompeten dan profesional. Badan ini juga mempunyai pelan peralihan tugas yang merupakan sebahagian daripada perancangan strategik pengurusan sumber manusia.

“Laporan itu juga menekankan bahawa badan ini telah menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi memantapkan pengurusan dan pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Menurutnya, Jawantankuasa Audit Lembaga dan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun diwujudkan untuk membantu Ketua Pegawai Eksekutif mengawasi sistem kewangan dan perakaunan KWSP.

Ketua Audit Negara juga menyatakan KWSP telah melaksanakan pengurusan kewangan dengan teratur serta mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping memaklumkan bahawa pelaburan dan pinjaman KWSP telah diurus dengan baik serta mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.

Ahmad menambah, Jabatan Audit Negara juga telah memilih 39 daripada 118 Badan Berkanun Persekutuan untuk diaudit termasuk 19 institusi pengajian tinggi awam dan lapan agensi yang tidak diberikan penarafan.

Objektif pengauditan itu adalah bagi menentukan sama ada pengurusan kewangan Badan Berkanun Persekutuan diurus mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang ditetapkan.