PPR pangsapuri sewa diperluas

0

LAWATAN: Abang Johari yang diiringi Celestine (kiri) dan Abdul Karim (dua kanan) serta yang lain melawat pangsapuri sewa di projek PPR Batu Gong, semalam.

SIBURAN: Program Perumahan Rakyat (PPR) pangsapuri untuk disewa bakal diperluaskan lagi ke beberapa kawasan bandar di negeri ini.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia termasuk di Matang (bagi Kuching) dan di Miri.

“Kita akan menggunakan model yang sama seperti di PPR Batu Gong ini dan kita sudah ada PPR di Kidurong Bintulu dan Rantau Panjang di Sibu, yang kini di landasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada kontraktor PPR Batu Gong, Debessa Development Sdn Bhd mengenai perkembangan projek itu sebelum melakukan lawatan di sini, semalam.

Abang Johari berkata, projek PPR pangsapuri sewa yang diluluskan kerajaan persekutuan itu merupakan pendekatan kerajaan menyediakan kemudahan kediaman kepada masyarakat luar bandar yang bekerja di bandar.

“Objektif pangsapuri disewa ini untuk disewa kepada rakyat yang berhijrah ke bandar untuk bekerja.

“Tambahan mereka ini hanya bekerja sementara sahaja dan pada masa yang sama mereka boleh menyimpan untuk membeli rumah mereka sendiri,” tegasnya.

Para penyewa katanya, hanya dikenakan RM180 setiap bulan iaitu RM150 sewa dan tambahan RM30 untuk kos penyelenggaraan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Bagi program PPR itu, Abang Johari berkata, penyewa akan dikenakan kontrak sewa sekurang-kurangya tiga tahun sebagai permulaan.

Sementara itu mengulas mengenai projek perumahan ‘berpenyakit’ di negeri ini, beliau mendedahkan ia memang ada tetapi tidak serius.

“Sebab itu, apa yang kita lakukan adalah jika ada berlaku masalah di beberapa perumahan kita akan datang segera supaya ia dapat diselesaikan,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi Debessa Development Sdn Bhd Dato Sri Celestine Ujang.