Penghuni pangsapuri dakwa tidak terima subsidi air

0

KLANG: Kira-kira 3,000 penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran mendakwa mereka tidak menikmati wang subsidi air yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS.

Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia A.Prakash berkata, kerajaan   Selangor perlu memulangkan semula wang subsidi pemberian air percuma yang tidak diterima mereka dianggarkan RM260,000 sejak ia dilaksnakan pada 2008.

Penghuni pangsapuri hanya menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bernilai RM11.40 sejak tiga bulan lepas sedangkan skim itu diperkenalkan kerajaan negeri pada 2008, katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri bersama-sama penghuni pangsapuri itu di Pandamaran, di sini semalam.

“Justeru, mereka meminta kerajaan negeri memulangkan semula wang subsidi dalam bayaran tunai yang tidak diterima mereka untuk tempoh tiga tahun yang dianggarkan berjumlah RM260,000 dan jika ikut pengiraan, setiap penghuni di kesemua 526 unit pangsapuri berhak mendapat RM500 setiap seorang,” katanya.

Bermula 1 Jun 2008, seramai 1.5 juta pengguna individu di Selangor menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada janji dalam manifesto parti pakatan dalam kempen pilihan raya umum 2008.

Prakash berkata kerajaan negeri juga perlu memperbaiki jalan masuk ke pangsapuri yang tidak diturap, selain berlopak-lopak serta menyelenggara kemudahan lif di keempat-empat blok pangsapuri.

“Penghuni-penghuni ini terpaksa membayar bayaran kos penyelenggaraan RM38 sebulan, namun tidak mendapat perkhidmatan secukupnya. Masalah ini turut diadukan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Ronnie Liu tetapi tiada sebarang tindakan dibuat sehingga hari ini (semalam),” dakwanya.

Seorang penduduk di pangsapuri itu, Siti Aswani Hasbi, 33, berkata: “Lif di pangsapuri ini selalunya hanya boleh beroperasi tidak sampai sebulan, dan selepas itu kerosakan berulang semula menyebabkan kami terpaksa naik turun menggunakan tangga.”

Arifin Muis, 36, pula tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di pangsapuri kerana tidak setimpal dengan bayaran penyelenggaraan RM38 sebulan.

Sementara itu, Liu ketika dihubungi Bernama berkata penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah harus menubuhkan Badan Pengurusan Bersama secara rasmi untuk menguruskan penyelenggaraan kemudahan asas termasuk pemberian air percuma itu.

“Melalui cara ini, kerajaan negeri bolehlah sekurang-kurangnya memberikan kupon untuk penduduk layak yang menggunakan meter pukal,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata penghuni di situ sepatutnya menukar sistem meter pukal kepada meter individu untuk menikmati subsidi air percuma itu.

Ronnie Liu mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad telah memberi peruntukan secukupnya untuk menyelenggara kesemua lapan lif di pangsapuri itu. — Bernama