Dijanji kerja pelayan restoran sebaliknya dipaksa jadi pelacur

2

WANITA berumur 19 tahun yang dipaksa menjadi pelacur oleh bapa ayam pernah bertindak cuba melarikan diri tetapi gagal.

KOTA KINABALU:  “Saya pernah cuba lari dari melakukan kerja ini tetapi gagal kerana dihalang bos saya, oleh itu saya terpaksa melakukannya untuk meneruskan kehidupan,” demikian kata seorang daripada empat wanita yang berjaya diselamatkan selepas dipercayai dipaksa menjadi pelacur oleh empat bapa ayam di sebuah premis tidak bernombor di tingkat satu, Jalan Haji Seman di sini kelmarin.

Menurut gadis berumur 19 tahun yang berasal dari Indonesia itu, pada mulanya dia telah dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran oleh seorang lelaki yang dikenalinya di Tawau.

Bagaimanapun, setibanya mangsa di sini bulan lepas, lelaki terbabit dikatakan telah memaksa mangsa menjadi pelacur manakala janji untuk memberikan pekerjaan sebagai pelayan restoran hanya janji kosong.

“Pada mulanya, saya tidak mahu buat (memberi khidmat seks) tetapi selepas dipaksa oleh bos, saya terpaksa buat juga dan sehingga sekarang (semalam) itulah cara saya mendapatkan duit,” katanya sebak ketika ditemui pemberita selepas pasukan polis membuat serbuan di bilik sewa terbabit kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi kelmarin oleh cawangan D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Inspektor Er Sheau Jia berkenaan, empat bapa ayam termasuk ketua mereka diberkas manakala empat lagi wanita yang dipaksa menjadi pelacur diselamatkan.

Menurutnya, setiap hari dia terpaksa melayan tiga hingga empat pelanggan tetapi pernah sekali dia juga melayan 10 lelaki dalam masa satu hari.

Tambahnya, bayaran yang diterima dari setiap pelanggan adalah antara RM100 dan RM150 tetapi wang yang diterimanya itu akan diserahkan terus kepada bapa ayam sebelum dia diberikan sedikit ‘tips’.

“Saya betul-betul rasa terseksa sepanjang melakukan kerja ini, malah pernah ketika saya datang bulan (haid) saya dipaksa juga melakukannya,” katanya.

Gadis itu juga berharap pihak berkuasa memahami masalah yang dihadapinya kerana dia mendakwa pekerjaan sebagai pelacur bukan kehendaknya tetapi dipaksa selepas ditipu.