Lebihan premium akan dibayar

0

RASMI: Awang Tengah (dua kanan) melakukan simbolik perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, di Kuching semalam sambil disaksikan oleh Sudarsono (kiri), Naroden (dua kiri) dan Sajeli.

Proses bayar balik lebihan bayaran perbaharui pajakan sudah dibuat secara automatik

KUCHING: Kerajaan telah bersetuju untuk membayar balik lebihan premium yang dibayar untuk memperbaharui pajakan tanah berdasarkan kadar lama bagi rumah, tanah pertanian dan bangunan kedai.

Menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, proses membayar balik sudah dibuat secara automatik bermula pada Oktober 2011.

“Setakat 22 Mac tahun ini, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah membuat pembayaran balik berjumlah RM24.1 juta melibatkan 2,833 lot iaitu 1,090 lot rumah (RM5.4 juta), 1,600 lot pertanian (RM9.98 juta) dan 143 lot bangunan kedai (RM8.71 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi dan Integriti JTS Sarawak, di sini semalam.

Hadir sama ialah Menteri Muda Perancangan Sumber merangkap Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais, Setia-usaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman dan Pengarah JTS Sajeli Kipli.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, pada 29 Mac ini, pembayaran balik tersebut akan diberikan kepada 340 pemilik tanah di Miri de-ngan nilai RM4.4 juta melibat-kan dua lot rumah (RM4,490), 289 lot pertanian (RM1.89 juta) dan 49 lot bangunan kedai (2.50 juta).

“Tahun lepas, di Miri sahaja, jumlah yang telah dibayar balik melibatkan 54 lot rumah (RM440,000), 68 lot pertanian (RM1.8 juta) dan 46 lot bangunan kedai (RM2.53 juta).

Awang Tengah menambah, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan pembayaran balik bagi pemilik tanah yang belum lagi menerima wang pembayaran balik.

Katanya di bawah kadar rata, kadar premium bagi pembaharuan 60 tahun untuk rumah ialah RM1,000 (rumah teres), RM3,000 (rumah berkembar) dan RM6,000 (rumah berasi-ngan).

Bagi tanah pertanian pula ialah RM5,000 seekar (tanah bandar), RM2,500 seekar (tanah pinggir bandar) dan RM200 seekar (tanah luar bandar).

Manakala untuk bangunan kedai ialah RM40,000 seunit (di bandar utama: Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu), RM20,000 seunit (di bandar sekunder: Sri Aman, Sarikei, Kapit, Limbang, Samarahan, Mukah dan Betong) dan RM10,000 seunit (di pekan: Lundu, Asajaya dan Niah).

Sebelum pelaksanaan dasar mengenai pembaharuan pajakan tanah, tiada peruntukan diberi dalam Kanun Tanah yang memperuntukkan pembaharuan sebelum tarikh luput pajakan.

Dasar mengenai pembaharuan pajakan tanah diumumkan pada 26 Mei 2007 dan dikemas kini lagi pada 4 Februari 2009.

Dengan dasar baharu ini, pembaharuan pajakan tanah boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan syarat tanah ber-kenaan tidak diperlukan bagi sebarang tujuan pembangunan oleh kerajaan dan penggunaan tanah tidak melanggar syarat seperti yang tertera dalam surat hak milik tanah.