Jambatan kayu, buluh SK Kambug dibaik pulih, dilengkapi bumbung

0

KUCHING: Jambatan kayu dan buluh yang menghubungkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug, Penrissen dekat Padawan di sini akan dibaik pulih lengkap dengan kemudahan bumbung.

Bagi tujuan itu kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 dengan harapan murid-murid tidak lagi berdepan dengan risiko kecelakaan akibat hujan dan sebagainya.

Peruntukan telah diumumkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika kunjungan beliau ke Kampung Kambug, Sabtu lepas bagi menghadiri Program Mesra Rakyat.

Selain peruntukan RM200,000 untuk baik pulih jambatan sekolah, Shafie turut meluluskan peruntukan permulaan berjumlah RM1 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan projek jalan raya melibatkan lapan kampung berdekatan Kampung Kambug.

Terdahulu dalam ucapannya Shafie yang memahami keperluan dan kekurangan penduduk di kawasan itu mengingatkan para ibu bapa agar memberi penekanan terhadap aspek pendidikan di kalangan anak-anak mereka.

Menurut beliau, tanpa ilmu pengetahuan sukar untuk kerajaan membangunkan rakyat kerana ia merupakan elemen utama dalam aspek pembangunan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar dan wilayah, saya akan memastikan kawasan ini akan turut mendapat kemudahan asas yang sewajarnya.

“Pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mengenal siapa, kaum atau agama.

“Apa yang pasti setiap rakyat miskin akan dibantu dan diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada kerajaan, Shafie turut berharap agar rakyat akan terus mengundi calon BN pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi membolehkan rancangan pembangunan kerajaan diteruskan.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelancongan merangkap Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit berharap ketua-ketua masyarakat lebih aktif dalam komuniti masing-masing.

Beliau sebagai wakil rakyat tidak mampu untuk berkunjung ke setiap kawasan rakyat  disebabkan masa yang terhad, justeru  katanya, bantuan daripada ketua-ketua masyarakat diperlukan dalam menyuarakan keperluan rakyat.