Buku ‘Special Moments’ mendapat perhatian daripada SUPP

0

KUCHING: Buku ‘Special Moments’ – yang menyusun kisah golongan ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, mendapat keprihatinan menakjubkan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) apabila membuat sebanyak 1,000 salinan untuk jualan.

Lima ratus salinan ialah daripada sayap Pemuda, Wanita dan Publisiti Pusat SUPP manakala 500 salinan lagi daripada Presidennya Datuk Seri Peter Chin dengan nilai kesemuanya RM20,000.

Perkara itu diumumkan Chin semasa lawatan ke Pertubuhan Bagi Ibu Bapa Kanak-kanak Cacat Sarawak (Pibakat) semalam, sambil menjelaskan hasil jualan juga akan disumbangkan kepada Pibakat.

“Derma sebanyak RM10,000 daripada peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri dan RM10,000 daripada Pemuda, Wanita dan Publisiti Pusat SUPP,” kata Chin yang merupakan Ahli Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pengarang yang juga Setiausaha Pibakat Ng Kui Choo menyuarakan kesyukurannya terhadap sambutan daripada SUPP itu.

“Saya amat berterima kasih kepada SUPP dan saya akan membuat cetakan untuk 1,000 salinan dengan segera,” katanya.

Menurut Ng, yang mempunyai seorang anak kurang upaya, beliau mula menghasilkan karyanya itu sejak tahun 2004.

“Setiap perkara yang ditulis adalah benar dan ia daripada hati serta pengalaman saya sendiri.

“Bagaimanapun beberapa nama telah ditukar untuk keselamatan,” katanya.

Buku ‘Special Moments’ boleh didapati di pasaran bermula minggu depan di beberapa kedai buku di sini dengan harga RM20 senaskhah.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung SUPP Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Agung Matthew Chen, Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Penolong Publisiti dan Setiausaha Maklumat SUPP Sih Hua Tong, Presiden Pibakat Ahmad Zaidi dan Naib Presiden Pibakat Eric Tang.