Kerajaan sedia membantu usahawan kecil kembangkan perniagaan

0

MIRI: Kerajaan sedia membantu golongan usahawan kecil yang berminat untuk mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan sumber pendapatan mereka.
“Semua perniagaan yang besar bermula dari perusahaan yang kecil. Walaupun tidak mempunyai cukup modal untuk membeli peralatan, namun kerajaan mempunyai cara untuk membantu,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting.

Beliau berkata demikian kepada media selepas penyampaian cek daripada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) kawasan Miri (P.219) mewakili Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berjumlah RM5,000 dan RM1,550 lagi daripada Program Nadi Kasih kepada Jcyanty Jamaludin di Bilik Mesyuarat Majlis Bandaraya Miri, baru-baru ini.

Peruntukan itu bagi membantu Jcyanty, pembuat coklat tempatan, membeli peralatan ‘table top tempering’ yang berharga RM6,550 untuk menghasilkan coklat yang berkualiti.

Sebastian menambah, bantuan itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk melihat lebih ramai usahawan khususnya di kalangan wanita tempatan melibatkan diri dalam industri desa.

Pada masa yang sama, membantu meningkatkan sumber pendapatan dan sosioekonomi mereka.

“Saya pernah melihat produk coklat yang dibuat oleh Jcyanty semasa pameran anjuran Sara Nita, dan tertarik dengan usaha beliau untuk menghasilkan coklat ‘homemade.’ Saya berharap lebih ramai wanita tempatan menceburi bidang ini,” katanya.