Jadikan bubur lambuk, bubur pedas harta intelek S’wak

0

KUCHING: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof mahu proses penyedi­aan bubur lambuk dan bubur pedas didokumentasikan se­bagai hak Sarawak.

Berucap pada majlis pen­angguhan Jerayawara Festival Bubur Lambuk dan Bubur Pedas di Surau Darul Qarar, Jalan Patingan di sini semalam, Fadillah berkata langkah ini perlu bagi melindungi hak cipta daripada menjadi royalti kepada orang lain.

Atas sebab itu beliau menge­syorkan kepada Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) agar mencantumkan kesemua idea-idea penyediaan dua bubur ini untuk dijadikan sebagai produk Sarawak di bawah SABERKAS.

“Proses penyediaan bubur ini merupakan satu daripada harta intelek milik kita dan usaha untuk mendokumentasikan bubur lambuk dan bubur pedas ini penting bagi menjaga harta intelek ini daripada menjadi hak milik pihak lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengalu-alukan penyertaan penduduk tempatan khasnya belia dalam Karnival Sains dan Gerakan Nasional yang akan berlangsung September ini sempena Regata Sarawak.

Individu yang berminat untuk menampilkan idea kreatif dan inovatif mereka dinasihatkan mendaftar kepada Pejabat Dae­rah untuk disenaraikan dalam karnival berkenaan.

Katanya jika berjaya, ke­menteriannya (MOSTI) akan memperuntukkan dana bagi membangunkan idea yang ditampilkan pada karnival berkenaan.

Beliau turut mengambil con­toh bubur pedas dan bubur lam­buk sebagai salah satu daripada idea yang boleh dipamerkan secara kreatif dan inovatif.

Bercakap mengenai majlis itu, ia merupakan lokasi terakhir daripada 24 lokasi yang bermula pada 17 Julai di Lawas diikuti perasmian pada 20 Julai lepas.

Sepanjang jerayawara itu yang dianjurkan bersama oleh BERNAS dan SABERKAS, se­banyak 480 kg beras digunakan melibatkan 1,200 sukarelawan dan 25,000 paket diedarkan.

Turut hadir, Setiausaha Pen­ganjur SABERKAS merang­kap ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Kamaluddin Mohd Effendi serta Pengerusi Persatuan Ke­bajikan Petra Jaya Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.