Alberts yakin pasukannya mampu tundukkan Selangor

0

Alberts

KUCHING: Ketua jurulatih Robert Alberts yakin anak didiknya mampu menundukkan Selangor pada perlawanan pertama Piala Malaysia jika semua pemain menunjukkan pretasi sebenar.

Alberts berkata skuadnya kini lengkap dengan kembalinya beberapa tonggak dari kecederaan serta kehadiran trio yang dipinjam dari Sabah.

“Sarawak kembali lengkap dan tidak harus dipandang mudah oleh pasukan-pasukan lain,” katanya semasa dihubungi semalam.

“Kemenangan pertama menentang Selangor pada 22 Ogos ini adalah penting bagi mengembalikan keyakinan para pemain selain menjadi kayu pengukur hala tuju kita dalam kempen ini.”

Menurut Alberts, pemain pertahanan Hairol Mokhtar dan penyerang Rashid Aya telah pulih dari kecederaan dan akan diturunkan pada perlawanan tersebut.

Selain itu, trio dari Sabah Bobby Gonzales, Shahrudin Yaakob dan Ronny Harun juga akan diturunkan pada perlawanan pertama setelah menunjukkan prestasi memberangsangkan membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sabtu lepas.

“Ketiga-tiga mereka akan diturunkan pada perlawanan pertama. Prestasi yang mereka tunjukkan sangat memuaskan dan saya yakin mereka dapat membantu Sarawak memburu kemenangan pertama,” katanya lagi.

“Biarpun masih baru dalam skuad, mereka telah menunjukkan keserasian yang cepat dengan pemain-pemain lain.”

Selain itu, Alberts turut gembira setelah ayam tambatannya dari Cameroon Guy Bwele dan Joel Epalle kembali menemui rentak jaringan pada perlawanan persahabatan tersebut.

“Ia petanda yang baik kerana kedua-duanya ketandusan gol agak lama. Saya yakin mereka akan kembali selaku penggempur digeruni pihak lawan.”

Alberts bagaimanapun sekali lagi mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu yakin apabila melayani skuad gergasi merah kuning di Stadium Negeri.

Tegas beliau, biarpun Selangor bakal kehilangan dua tonggak akibat penggantungan, kelibat penyerang-penyerang lain masih mampu untuk menyebabkan Sarawak menggigit jari.

“Selangor tetap berbahaya tanpa Mohd Amri Yahyah dan pemain tengah Mohd Bunyamin Omar. Mereka masih ada Mohd Safiq Rahim, Bosko Balaban dan Rozaimi Abdul Rahman.

“Justeru, saya mahu para pemain terutama barisan pertahanan agar jangan leka dan sentiasa mengawasi penyerang-penyerang Selangor.”

Sarawak diundi bersama-sama dengan Selangor, T-Team dan pendatang baru Liga Super Pahang dalam kumpulan D.