Penoreh getah merogol adik kandung dipenjara 27 tahun, sembilan sebat

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 27 tahun dan sembilan sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tiga kesalahan merogol adik kandungnya berusia 14 tahun.

Tertuduh berusia 27 tahun yang juga seorang penoreh getah dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Azreena Aziz selepas menganggukkan kepala tanda memahami kertas pertuduhan yang dibacakan kepadanya dan mengaku besalah.

Kesalahan pertama, tertuduh telah merogol adik kandungnya pada hujung bulan Julai tahun ini jam 11 malam dalam bilik di sebuah kampung di Kota Marudu.

Bagi kesalahan kedua dan ketiga, pada 7 Ogos dan 9 Ogos tahun ini antara jam 11 malam dan 11.30 malam, di tempat yang sama, tertuduh sekali lagi merogol mangsa.

Atas tiga kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan boleh sampai 30 tahun, serta tidak kurang daripada 10 sebatan rotan.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan serta diperintahkan menjalani semua hukuman itu secara berasingan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon agar hukumannya diringankan kerana ibu bapanya telah meninggal dunia serta tiada yang menjaga adik-beradiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Chow Siang Kong menegaskan agar hukuman berat harus dijatuhkan dan berjalan secara berasingan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesan trauma dan masa depan mangsa.

“Tertuduh yang merupakan abang telah merogol adiknya yang mana dia telah menggunakan kekerasan,” katanya dan menambah, mahkamah haruslah mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan kesalahan seumpama itu yang semakin meningkat.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Ogos lalu mangsa telah membuat laporan polis dengan mengatakan pada hujung bulan Julai lalu, abang kandungnya telah merogolnya ketika dia sedang tidur.

Siasatan polis mendapati mangsa telah dirogol sebanyak tiga kali, kejadian pertama pada akhir bulan Julai tahun ini, ketika mangsa sedang tidur di dalam biliknya dan terjaga serta mendapati tertuduh sedang berada di atas pahanya.

Mangsa cuba menjerit tapi telah ditampar di bahagian muka oleh tertuduh. Lalu mangsa cuba meronta, namun tertuduh mengancam akan memukulnya.

Tertuduh kemudiannya keluar dari bilik dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya diceritakan kepada orang lain.

Manakala kejadian seterusnya, pada 7 Ogos tertuduh turut melakukan perkara yang sama dan mengugut mangsa sekiranya memberitahu hal itu kepada orang lain.

Kejadian pada 9 Ogos lalu, di tempat yang sama, tertuduh sekali lagi merogol mangsa ketika mangsa sedang tidur. Tertuduh juga telah mengugut akan memukul mangsa sekiranya melawan, yang mana ketika itu tiada orang lain berada di dalam rumah terbabit.

Mangsa telah dirujuk ke hospital dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan lama di sekeliling kemaluan mangsa.