Ibu bapa Pandelela terima Anugerah Perkongsian MOM

0

KUALA LUMPUR: Ibu bapa Pandelela Rinong telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkongsian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sumbangan cemerlang mereka dalam menjadikan ratu terjun negara itu sebagai salah seorang penerjun wanita terbaik dunia.

Ratu terjun negara berusia 19 tahun dari Sarawak itu mencipta sejarah apabila menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik London, baru-baru ini.

Bapanya, Pamg a/k Joheng, 46, dan ibu Hartini Lamin, 44, menerima trofi masing-masing yang disampaikan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis Anugerah Wanita dan Sukan Tahunan MOM ke-10 di Wisma MOM, di sini semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Pamg mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi sokongan berterusan kepada kejayaan anak perempuannya itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (MNA) Datuk Suraya Yaacob menerima Anugerah Tertinggi Wanita atas sumbangannya dalam pembangunan bola jaring di peringkat akar umbi termasuk di negeri dan nasional.

Antara sumbangan cemerlang Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Tiang itu ialah membangunkan dan mengetuai pasukan bola jaring remaja kebangsaan untuk muncul juara empat tahun berturut-turut pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia pada 2004, 2006, 2008 dan 2010  Beliau juga mengetuai pasukan bola jaring kebangsaan untuk menduduki tempat ketiga pada kejohanan bola jaring Piala Negara-Negara di Singapura tahun lepas.

Bekas pemain skuasy wanita kebangsaan, Sharon Wee Ee Ling menerima Anugerah Pembangunan Peringkat Akar Umbi bagi sumbangan pentingnya dalam program pembangunan sukan skuasy di peringkat remaja.

Naib Presiden Persatuan Olahraga Masters Selangor Prof Madya Datuk Dr S. Vijayaletchumi menerima Anugerah Pembangunan Sukan Veteran atas penyertaan aktif beliau dalam kejohanan olahraga masters di dalam dan luar negara.

Anugerah tahunan itu yang telah diperkenalkan MOM sejak 2003, bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu dan badan korporat yang telah memberi sumbangan besar kepada promosi, pembangunan dan kemajuan wanita dalam bidang sukan dan aktiviti berkaitan sukan di negara ini. — Bernama